Malaysia Dateline

Najib diami rumah pegawai senior – Ini penafian Jabatan Penjara

Dakwaan tular kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditempatkan di sebuah rumah pegawai senior Penjara Kajang dalam kawasan penjara itu adalah tidak benar.

Jabatan Penjara Malaysia hari ini menerusi hantaran di Facebook rasminya menafikan dakwaan itu dan bertegas bahawa maklumat tersebut sebagai palsu dan tidak sahih.

“Maklumat tidak sahih. Hentikan penyebarannya,” kata jabatan itu ringkas.

Reaksi berkenaan susulan tersebar tangkap layar perbualan di WhatsApp yang mendakwa Najib tidak ditempatkan di dalam sel penjara di Penjara Kajang.

“Najib tidak berada di dalam sel. Seorang sahabat yang sepupunya adalah seorang pegawai senior penjara di Kajang, maklumkan Najib diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara.

“Rumah berkenaan adalah untuk pegawai senior penjara,” kata mesej tersebut dalam bahasa Inggeris.

Perkembangan Najib terus mendapat perhatian umum selepas suami Datin Seri Rosmah Mansor itu dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos lalu.

Minggu lepas, heboh kononnya nama Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan mengulas dakwaan membabitkan Ahli Parlimen Pekan terbabit.

“Sebelum ini ada tahu ke pangkalan data? Kalau tidak tahu, macam mana ada dakwaan?” kata Hamzah seperti dilapor media.

Sementara itu, media pada 4 September lalu, melaporkan Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pegawai Khasnya, Muhamad Mukhlis Maghribi memberitahu, bekas Presiden Umno itu dalam keadaan stabil dan melalui semua pemeriksaan kesihatan serta rawatan yang diperlukan.

Najib, 69 meringkuk di dalam penjara selepas gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Baca juga Anak Najib silap berqiyas!