Malaysia Dateline

Najib diarah bayar RM1.69 bilion

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak diarahkan untuk membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim, Datuk Ahmad Bache berkata, mahkamah
membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus ke atas ahli Parlimen Pekan itu.

Perkara tersebut diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.