Najib dicabar padam gambar Tun M di seluruh negara

PPKPR sedang menutup wajah dan nama Tun Dr. Mahathir pada ‘billboard’ PH.

Insiden Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengambil tindakan tidak membenarkan gambar bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed di Pekan Nanas telah mengundang kemarahan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) SPR, hari ini mengambil tindakan menutup gambar Tun Dr. Mahathir di empat lokasi di bawah Parlimen P165 Tanjung Piai.

Calon PH N56 Kukup, Suhaizan Kaiat telah mencabar agar tindakan sebegini terus dibuat di seluruh negara agar rakyat akan lebih marah dan menolak BN dalam pilihan raya.

“Saya cabar Najib Razak untuk meneruskan usahanya untuk menghalang PH menaikkan gambar Tun Mahathir di seluruh Malaysia.

“Ini adalah suatu undang-undang yang kelakar dan sebelum ini juga telah wujud suatu undang-undang yang hampir sama iaitu menidakkan orang awam memakai baju kuning (Bersih),” tegas Suhaizan.

(Dari kiri) Dr. Md Farid Md Rafik, Suhaizan Kaiat dan Yeo Tung Siong dalam sidang media di lokasi kejadian.

Dalam pada masa yang sama, calon PH dan penyandang N55 Pekan Nanas, Yeo Tung Siong meluahkan rasa kekecewaan dengan tindakan SPR yang dilihat seperti berat sebelah dalam melaksanakan tugas mereka.

Suhaizan Kaiat (kanan) sedang berurusan dengan pegawai PPKPR

“Sebelum ini ada laporan berkenaan dengan gambar pimpinan bukan dari Malaysia dan sememangnya gambar tersebut bukanlah calon yang bertanding, tapi SPR dilihat melengahkan aduan berkenaan.

“Tindakan menutup gambar Tun Dr. Mahathir adalah suatu perkara yang tidak patut kerana beliau merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia. Saya tak faham undang-undang ini,” luah Yeo dalam satu sidang media.

Turut hadir, calon PH P165 Tanjung Piai, Dr. Md Farid Md Rafik yang turut kesal dengan tindakan yang dikenakan ke atas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Beratu) itu dan beliau turut menjangkakan kemarahan rakyat akan terserlah dengan tindakan ini.