Malaysia Dateline

Najib dikompaun RM3,000, pemilik kedai RM10,000 kerana langgar SOP

Datuk Seri Najib Razak telah dikenakan kompaun RM3,000 oleh polis kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa memasuki kedai nasi ayam Hainan Chee Meng di Bukit Bintang di ibu negara manakala pemilik kedai dikenakan kompaun RM10,000.

Bekas Perdana Menteri itu dikompaun kerana tidak mendaftarkan diri ketika memasuki kedai dan tidak mengambil suhu badan.

Najib telah mengaku salah ekoran tular video beliau dan rombongannya memasuki kedai itu beberapa bulan lalu tanpa mematuhi SOP.

Najib mengaku tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum menjamu selera di restoran itu.

Menerusi catatan di Facebook, Najib menyatakan kesediaan untuk membayar denda dan bertegas tidak mahu sebarang isu ‘double standard’ dalam kesnya.

“Ya, benar. Saya makan di Kedai Nasi Ayam Chee Meng. Kedai ini popular di KL. Ramai yang beragama Islam makan di sini juga.

“Seperkara lagi ialah mengenai ‘check-in’. Aturan dibuat dan saya dibawa masuk ke kedai terus setibanya di sana.

“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian,” ujarnya dalam hantaran itu.

Sehingga kini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tidak dikenakan sebarang kompaun walaupun gambar beliau makan semeja dan melanggar SOP tular di media sosial.

Polis telah mengambil kenyataan Annuar dan menyerahkan hasil siasatannya kepada pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan seterusnya.