Najib diminta belajar dari Mat Sabu

Najib diminta belajar dari Mat Sabu

Pemimpin AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin mengesyorkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak belajar daripada Presidennya, Mohamad Sabu tentang urusan mahkamah.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu berpendapat Najib mungkin kekok lagi dengan hal naik turun mahkamah dan mungkin masih merasakan diri masih seorang Perdana Menteri.

“Saya ingin cadang beliau (Najib) dapatkan tips dari orang seperti YB Menteri Pertahanan (Menhan).

“YB Menhan dulu amat kerap ulang-alik ke mahkamah. Hampir semua kes beliau, dia mohon saya yang kendalikan.

“Jadi, saya tahulah sikit-sikit dan mungkin saya boleh
mengesahkan yang YB Menhan bukan sahaja rajin ke mahkamah, beliau juga hebat dari segi menjaga masa,” katanya.

Hanipa yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu mendedahkan hakim bukan Muslim bahkan menghormati disiplin tinggi Mohamad khususnya dalam aspek menjaga masa.

“Jadi, Abang Mat (Mohamad) tolonglah bagi sikit tips itu kepada YB Pekan. Nak harap kawan-kawan lama (Umno), mereka juga ada kes masing-masing.

“Jadi, masing-masing nafsi nafsi sekarang ni. Nak belajar dengan teman “pemikulan” baru (Pas), kes di London pun tak jalan,” tempelak Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang itu lagi.