Najib disaran bawa cadangan ‘impeachment’ ke Parlimen

Najib disaran bawa cadangan ‘impeachment’ ke Parlimen

Selepas mencadangkan kaedah atau undang-undang khas bagi pertuduhan pemecatan (impeachment) diwujudkan untuk membolehkan tindakan eksekutif dicabar, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub hari ini mencabar perdana menteri supaya membawanya ke parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Dalam kenyataannya semalam, Salahuddin menyarankan perlaksanaan “impeachment” bagi membolehkan tindakan eksekutif perdana menteri dan ahli jemaah menteri dicabar jika mereka terlibat dengan skandal jenayah, rasuah dan salah laku dalam urus tadbir negara.

“Kerana ianya suatu yang baru bagi Malaysia, saya juga telah mencadangkan supaya golongan cerdik pandai seperti para hakim, peguam dan pihak yang berkaitan agar memberi buah fikiran ke arah perlaksanaan ‘impeachment’ ini yang mungkin memerlukan kepada pindaan perlembagaan negara,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah Salahuddin, walaupun pelbagai kebaikan dapat disenaraikan melalui amalan ‘impeachment’, beliau sangsi dengan kesediaan Datuk Seri Najib Razak untuk membawa cadangan itu ke Parlimen.

“Satu soalan yang memerlukan jawapan berjiwa besar daripada Najib yang kini terpalit dengan skandal terbesar negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya dan tentunya seluruh rakyat Malaysia menunggu jawapan dari Najib dengan penuh harap,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)