Malaysia Dateline

Najib ditahan polis berhubung kes 1MDB, hadapi 21 pertuduhan, kata KPN

Selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini ditahan polis berhubung kes yang sama iaitu kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Najib ditahan sejurus mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Penahanan dan pertuduhan Najib oleh polis dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Rashid berkata ketika kenyataan itu dikeluarkan, Najib masih berada bersama-sama pasukan siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman di Menara KPJ, di sini.

“Najib akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001,” katanya.

Selain itu, Noor Rashid berkata Najib akan menghadapi 21 pertuduhan melibatkan penerimaan, penggunaan dan pemindahan wang haram ke entiti lain berjumlah US$681 juta (RM2.8 bilion) yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata daripada 21 pertuduhan itu, sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan pemindahan wang haram ke entiti lain.

“Tangkapan dan pertuduhan Najib dibuat dengan kerjasama pihak SPRM,” katanya.

Terdahulu, Najib tiba di Menara KPJ pada 9.20 pagi tadi menaiki Alphard Hitam untuk diambil keterangan berhubung kes itu.

Semalam, Najib ditahan SPRM pada pukul 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tengah hari ini bagi pertuduhan di mahkamah berhubung semua pertuduhan itu.