Malaysia Dateline

Najib ditahan SPRM dakwaan laporan audit 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bahawa berkaitan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, yang berada di ibu pejabat SPRM untuk disoalsiat telah ditahan kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Sumber SPRM berkata Ahli Parlimen Pekan itu mungkin dibebaskan petang ini jika dia menyelesaikan jaminannya.

Sumber itu menambah bahawa Najib sedang disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Pada 6 Disember lalu, Najib memberi keterangan kira-kira empat jam di SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Najib tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Antara telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini termasuk bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.