Malaysia Dateline

Najib doakan Juwairiya dimurahkan rezeki

Datuk Seri Najib Razak malam tadi mendoakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli yang dilantik sebagai setiausaha politik Menteri Besar Selangor.

Juwairiya pernah menarik perhatian orang ramai apabila melakukan protes terhadap Najib berhubung isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan plakad tertera ungkapan unik.

Imejnya memegang plakad tular di media sosial ketika itu apabila mendakwa Najib menambahkan kesusahannya yang bertahun-tahun mengumpul duit kahwin apabila melaksanakan GST mulai 1 April 2015.

“Semua salah Najib. Tak kahwin pun salah Najib. Internet tidak lupa.

“Semoga dimurahkan rezeki. Saya doakan yang baik-baik untuknya,” kata Najib di Facebooknya malam tadi.

Juwairiya mengisi kekosongan jawatan setiausaha politik MB Selangor selepas ADUN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Selangor pada September tahun lalu.

Menerusi pelantikan itu, Juwairiya dilapor berkata, beliau sedia berkhidmat demi mempertahankan pentadbiran kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tambah Juwairiya lagi, pihaknya juga akan berusaha bagi memperkukuh kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) Selangor dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Juwairiya, 36, merupakan Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat dan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor.

Pada PRU14, beliau merupakan calon bidan terjun menggantikan pilihan asal PKR untuk kerusi yang disandangnya kini ekoran calon terdahulu, G Sivamalar ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana melanggar peraturan alamat tempat tinggal.

Juwairiya mencipta rekod sebagai satu-satunya calon wanita Melayu di DUN Bukit Melawati sejak 2008 yang berjaya menewaskan Jakiran Jacomah dari Barisan Nasional dan calon Pas, Muhammad Rashid Muhammad Kassim seorang bekas guru besar pada PRU14.