Najib dulu hapus, Tajuddin kini cadang kementerian khas untuk Bumiputera

Najib dulu hapus, Tajuddin kini cadang kementerian khas untuk Bumiputera

Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tampil mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan kementerian khas bagi membantu ekonomi Bumiputera ketika Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.1 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa diseleweng sejak 2009 oleh sekutu-sekutu Malaysian Official 1.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman seperti dipetik dilapor berkata, pada masa ini pelbagai agensi seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Jadi sudah tiba masanya untuk kita pusatkan agenda tersebut agar pelaksanaannya dapat dilakukan di bawah satu pentadbiran dengan menubuhkan sebuah kementerian baharu supaya usaha tersebut lebih mudah,” ujarnya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Segamat semalam.

Untuk rekod Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dalam Kabinet barunya sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Terdahulu, MECD sejak 2004 berperanan sebagai agensi utama bagi pembangunan usahawan Bumiputera dengan menterinya yang terakhir ialah Datuk Noh bin Omar.

Keputusan Najib membubarkan kementerian berkenaan dilihat banyak pihak membantutkan pembangunan usahawan serta menjejaskan kira-kira empat juta pertubuhan koperasi dan enam juta ahli koperasi ketika itu.

TAGS