Malaysia Dateline

Najib gagal yakinkan mahkamah untuk timbulkan keraguan terhadap hakim Nazlan, peguam yakin mahkamah berlaku adil

Lima Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak usul Datuk Seri Najib Razak untuk mengemukakan keterangan dan bukti baru berkaitan rayuan SRC International Sdn Bhd.

Bukti baru yang mahu dikemukakan Najib lebih kepada hasrat untuk mewujudkan keraguan terhadap hakim bicara iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Datuk Mohd Nazlan cuba dikatakan ada konflik kepentingan dan risiko berat sebelah (bias).

Bagaimanapun panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak usul tersebut selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap pemohon (Najib).

Respon peguam

Mengulas keputusan itu, peguam yang mengikut rapat kes Najib iaitu Mohamed Hanipa Maidin yakin bahawa mahkamah telah menggunakan budi bicaranya dengan betul dan seadil yang mungkin.

“Jika dilihat kepada penghakiman mahkamah yang saya sudah membacanya, mahkamah ambil perhatian yang sewajarnya kepada hujah peguam bela Najib walaupun gagal meyakinkan mahkamah,” ulasnya ringkas.

Katanya, ketika menolak permohonan Najib, mahkamah putuskan permohonan tersebut melibatkan isu budi bicara mahkamah di bawah seksyen 93 Akta Mahkamah Keadilan 1964.

“Mahkamah putuskan bahawa Najib telah gagal mematuhi kesemua 4 syarat yang telah ditetapkan untuk membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya di mana antara keterangan baru itu mestilah relevan dan kredibel.

“Dan jika keterangan itu dibenarkan untuk dikemukkan, ia mesti boleh berjaya mewujudkan keraguan munasabah sama ada tertuduh iaitu Najib itu bersalah atau tidak bersalah,” tambahnya lagi

Untuk rekod, Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib.

Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Baca juga: Terkejut kena bayar RM10 untuk 4 roti kosong, pembeli naik bingung tengok roti canai makin mahal

Baca juga: Najib perlu jawab bagaimana subkon yang baru tubuh 45 hari, boleh buat tuntutan RM178 juta?

Baca juga: Lelaki kongsi kepayahan belajar di SJKC, ada pelajar Melayu tertinggal pelajaran sebab tak kuasai bahasa Cina