Najib hadir di mahkamah Kuala Lumpur hari ini

Najib hadir di mahkamah Kuala Lumpur hari ini

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tiba diperkarangan Mahkamah Kuala Lumpur  diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 8.30 pagi tadi.

Beliau hadir dengan berpakaian suit biru dan disambut oleh penyokong dan pihak media yang telah menunggu dari awal pagi untuk menyaksikan sendiri kehadiran Najib yang juga bekas presiden Umno itu yang akan didakwa di Mahkamah Syesen Jenayah 2 bagi menghadapi kemungkinan 10 pertuduhan mengaitkannya dengan skandal SRC International Sdn Bhd.

Dianggarkan lebih kurang 100 penyokong  dan pimpinan Umno turut hadir untuk bersama memberikan semangat kepada Najib dengan laungan “Hidup Najib” dan “Bebas Najib” sejurus melihat bekas menteri kewangan itu memasuki perkarangan mahkamah.

Antara yang kelihatan KetuaPergerakan  Pemuda dan Wanita Umno Datuk Asyraf Wajdi Dasuki dan Datuk Noraini Ahmad bersama ahli Umno. Mereka membawa plakad  dalam tiga bahasa mengambarkan solidariti terhadap Najib.

Turut kelihatan anak Najib Mohd Nazifuddin  dan ahli keluarganya  juga hadir memberikan sokongan.

Kenderaan yang membawa Najib dilihat keluar dari ibu pejabat SPRM pada pukul 7.37 pagi ini untuk menuju ke Mahkamah Kuala Lupur di Jalan Duta.

Kelihatan Datuk Noraini Ahmad (tiga dari kanan) bersama  exco wanita turut hadir memberi sokongan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Kenderaan Proton Inspira merah yang membawa Najib diiringi enam kenderaan lain termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

Petugas media menunggu sejak pukul 6.30 pagi bagi merakam pergerakan keluar Perdana Menteri keenam itu hari ini.

Najib ditahan SPRM pada pukul 2.35 petang semalam di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

Najib ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., bekas anak syarikat 1MDB.

Difahamkan kes itu akan disebut di depan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan, Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di depan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Tuduhan itu dijangka dibacakan kepada Najib di Mahkamah Sesyen dan tidak ada pengakuan akan direkodkan daripada beliau. Pengakuan hanya direkodkan apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di aras 4.

Dalam kalangan 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib adalah yang pertama menghadapi dakwaan jenayah.