Malaysia Dateline

Lim Guan Eng mohon maaf bagi pihak DAP

Najib harus mohon maaf atas kesilapan, kususnya 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus meminta maaf atas kesilapan beliau terutamanya ekoran perkembangan terbaru skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, dalam perkembangan terkini, Goldman Sachs telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyatakan Goldman Sachs juga telah ditipu oleh pemimpin tertinggi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sungguhpun Goldman Sachs telah minta maaf, Datuk Seri Najib masih berdegil dan berkeras yang beliau tidak bersalah dan enggan memohon maaf. Sebaliknya beliau menyalahkan sistem sungguhpun beliau mewakili sistem semasa menjadi Perdana Menteri pada masa itu,” katanya.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pegawai bank di firma itu dalam skandal 1MDB.

Goldman membantu menguruskan bon US$6.5 bilion bagi 1MDB dan Malaysia telah menfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank tersebut serta dua bekas kakitangannya atas tuduhan mencuri.

Tambah Lim, satu lagi kesilapan Najib ialah menganggap bahawa Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah kolej swasta bukan untuk keuntungan yang berteraskan wakaf sebagai institusi yang sama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Jelas Lim, UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada tahun 2012 apabila Kolej Islam Malaya sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh-tokoh di Malaysia dinaik taraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Mustahil seorang bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?,” katanya lagi.

Seharusnya Najib patut memohon maaf atas kesilapannya tetapi saya yakin Najib tidak akan berbuat demikian kerana beliau rasa “tidak boleh buat salah”, tambahnya.

Kenyataan Lim mengulas hantaran Najib menerusi laman sosial Facebook yang mempertikaikan Menteri Kewangan yang membuat perbandingan antara pemberian RM15 juta kepada UIM dengan pemberian sebanyak RM6 Juta kepada tiga universiti iaitu Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang.

– BERNAMA