Najib harus muhasabah diri, terima kekalahan

Najib dicadangkan akan muhasabah diri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya musabah diri selepas menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 baru-baru ini.

Beliau sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan yang cuba menegakkan benang yang basah sehinggalah keadilan berjaya ditegakkan khususnya membabitkan isu hutang negara dan juga 1MDB.

Ia adalah pendapat umum dan Najib harus menilai kembali apa yang beliau lakukan selama ini.

Bagi Ketua AMANAH kawasan Kulim-Bandar Baharu, Othman Don, kenyataan Najib baru-baru ini yang mendakwa pemansuhan cukai GST adalah fantasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya dizahirkan.

“Dalam kemelut yang beliau hadapi kini ia seolah-olah cuba menyelamatkan diri.

“Najib menyedari ia hampir lemas dengan pelbagai pendedahan demi pendedahan oleh pihak berkuasa.

“Pendedahan Tun Mahathir bahawa hutang negara mencecah 1 trilion adalah amat mengejutkan rakyat dalam negara ini, ” ujarnya.

Malah katanya sebelum ini Najib tidak pernah mendedahkan bahawa hutang negara mencapai sehingga angka yang amat besar.

Namun begitu maklumat terkini yang didedahkan membuktikan bahawa keadaan hutang tersebut memberi beban yang berat terpaksa ditanggung oleh kerajaan baru hasil kepincangan pentadbiran Najib.

“Selain isu hutang negara yang banyak, kes skandal 1MDB belum lagi dibongkar secara total yang turut membabitkan kepimpinan Najib.

Othman Don, Ketua AMANAH kawasan Kulim-Bandar Baharu.

“Apa lagi aset-aset diluar negara sepertimana yang telah didedahkan baru-baru ini juga memberi tamparan hebat kepada beliau sebagai bekas pemimpin nombor satu Umno.

“Dakwaan membabitkan pembunuhan Altantuya serta RM2.6 bilion yang dikredit ke akaun peribadi Najib sebelum ini masih lagi menjadi persoalan yang mencelarukan rakyat, ” tegasnya.

Melihat kepada perkembangan terkini katanya, Najib akan berdepan dengan seribu satu macam permasalahan membabitkan kepincangan dalam pentadbiran beliau selama ini.

Oleh kerana itu tambahnya, muhasabah diri adalah perkara utama yang wajib dilakukan oleh Najib bagi menghadapi pelbagai pertuduhan dan dakwaan yang sedang menanti beliau.