Najib hina integriti polis dan tentera, mainan politik perkauman, kata MP Segambut

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didakwa menghina integriti dan cuba menakut-nakutkan pasukan tentera dan polis melalui permainan politik kotor dan perkauman Umno-BN, kata Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, perdana menteri juga berbohong kepada anggota polis dan tentera kerana menjadikan konsep ‘Malaysia Malaysian’ DAP memungkinkan Rejimen Askar Melayu akan dibubarkan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

” Najib berbohong di hadapan pimpinan tertinggi angkatan tentera dan pasukan polis bahawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ DAP mungkin akan membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), manakala kemenangan Pakatan Harapan akan membawa kepada pengecilan saiz pasukan tentera dan polis.

“Profesionalisme dalam pasukan tentera dan polis pastinya akanditambahbaik apabila Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Lim Lip Eng

“Negara memerlukan anggota polis dan tentera yang terlatih secaraprofesional bagi mempertahankan tanahair dan memelihara kesejahteraan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan.

Justeru katanya lagi, jika rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang, pasukan RAMD dan pasukan Gerak Khas polis pastinya akan diberikan peluang latihan dan peralatan yang selayaknya untuk menjadi pasukan operasi khas setaraf SEAL dan SWAT terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Selain daripada skandal antarabangsa 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenarnya tiada apa-apa untuk dibanggakan sangat sejak menjadi PM sejak 9 tahun lalu.

“Ini sebabnya kenapa Najib hanya mampu menyerang Pakatan Harapan dengan tipudaya dan fitnah; terutamanya terhadap DAP,” ujarnya.

Semalam Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menafikan dakwaan RAMD mungkin akan dibubarkan jika PH menang mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau dipetik berkata DAP sama sekali tidak akan menyokong langkah itu dan rejimen itu akan mencapai tahap lebih tinggi sebagai pasukan pertahanan ulung jika PH mentadbir negara.

Beliau berkata Najib cuba memancing undi polis dan tentera apabila mendakwa pihak tertentu nak mencadangkan rejimen itu dibubarkan sebab tiak sesuai dengan konsep “Malaysian Malaysia”.

Datuk Seri Mohd Najib Razak (tengah) bersama Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun (kanan) dalam Majlis Makan Malam Rejimental Tentera dan Polis di Wisma Putra pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat, Najib di satu majlis makan malam bersama tentera dan polis di Kuala Lumpur mengajak hadirin memikirkan implikasi daripada kepimpinan politik yang tidak memahami negara.

“Sebagai contoh, kalaulah sudah disebut-sebut bahawa penjawat awam terlalu besar saiznya, 1.62 juta, sehingga ada kertas kerja yang dibentangkan oleh Penang Institute mencadangkan saiz perkhidmatan awam yang sepatutnya ialah 430,000. Apa implikasinya?

“Mungkin polis akan dikurangkan saiznya? Mungkin tentera akan dikurangkan saiznya? Mungkin perkhidmatan pelajaran akan dikurangkan saiznya? Segala-galanya mungkin berlaku kalau sekiranya dasar kerajaan tidak menepati keperluan sebenar.

“Atau pun lebih buruk itu, seandainya ada yang tersirat, yang tidak memahami asal usul sejarah negara kita. Kalau ada pihak, misalnya, nak mencadangkan Rejiman Askar Melayu Di-Raja dibubarkan sebab tak sesuai dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’, apa implikasinya kepada kita semua?

“Saya percaya saya tak perlu jawab perkara ini,” katanya di majlis makan malam rejimental tentera dan polis di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia.

 

 

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote