Najib jamah roti selepas saksi sahkan cek RM20 juta ditunaikan

Najib jamah roti selepas saksi sahkan cek RM20 juta ditunaikan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat hanya menjamah roti di kafeteria Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Suami Datin Seri Rosmah Mansor itu turut meneguk minuman Gloria Jean’s Coffees semasa perbicaraan hari kelimanya berhenti rehat sebentar.

Najib yang juga bekas Presiden Umno itu juga meluangkan masa bergambar bersama penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Beliau kemudiannya selesai makan dan minum pada pukul 11.30 pagi.

Senyum masih terukir di bibir Najib tapi resah di hati siapa yang tahu.

Dalam perbicaraan sebelah pagi tadi, saksi pendakwaan kelima, Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek Ambank, Badron Hisham Mohd telah mengesahkan cek AmIslamic yang dikeluarkan daripada akaun syarikat SRC International Sdn. Bhd. telah berjaya ditunaikan.

Cek itu berjumlah RM20 juta untuk pembayaran kepada Ihsan Perdana Sdn. Bhd. pada 12 Disember 2014. Sehingga kini sebanyak 17 cek telah dikenalpasti.

Menurut Badron juga, cek lain AmIslamic yang ditunaikan termasuk:

– RM1 juta untuk Upko, bertarikh 13 Feb 2015
– RM103,000 untuk Ihsan Perdana, bertarikh 9 Mac 2015
– RM400,000 untuk pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, bertarikh 12 Feb 2015
– RM300,000 untuk Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, bertarikh 8 Feb 2015
– RM300,000 untuk Umno Johor Baru Umno, bertarikh 26 Feb 2015
– RM2.5 juta untuk Zulqarnain & Co, bertarikh 2 Feb 2015

Kumpulan penyokong Najib teruja bergambar sebelum bekas Pengerusi BN itu menjamah roti.

Sementara itu, saksi keempat, Ahmad Farhan Sharifudin tidak dipanggil hari ini bagi memberi peluang saksi tersebut mencari dokumen yang berkemungkinan mengandungi bukti perbualan antara Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu dan ahli perniagaan, Jho Low.

Najib didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Kaki Najib hari ini sakit gara-gara bersenam seperti diberitahu kepada penyokongnya sejurus tiba di mahkamah jam 8.47 pagi tadi.