Malaysia Dateline

Najib jawab hubungannya dengan Trump di himpunan Baitulmaqdis

Diselangi pimpinan doa bersama iringan muzik latar yang sedih, Najib Razak menyambung kembali ucapan dengan memberitahu status hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Saya tidak akan menggadaikan kesucian Islam.

“Walaupun dia kuasa besar, jangan perlekehkan Malaysia. Kita tidak minta pinjaman daripada Amerika.

“Dalam banyak hal, dia minta kita beli pesawat mereka,” katanya dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis hari ini.

Bagaimanapun, pada pertemuan Najib dengan Trump pada 13 September lalu, media melaporkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan di AS dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.

Pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan itu menyebut Malaysia berhasrat untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners selain akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

Najib pada himpunan yang tidak dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu selanjutnya menganggap hubungan Malaysia dan AS bukti negara ini tidak lemah.

“Maknanya Malaysia ini negara membangun. Kita bukan lemah. Kita ada kekuatan apa lagi kalau umat Islam di negara ini bersatu,” katanya.

Bersama mengaminkan doa untuk rakyat Palestin.

kerat badan

Beliau ketika berucap kira-kira 20 minit di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya turut mengaitkan pendiriannya tentang isu Palestin dengan prinsip maqasid syariah.

“Ini bukan pilihan. Ini wajib kita tentang mereka. Wajib kita bersatu,” ujarnya.

Presiden Umno itu turut menegaskan pendiriannya tentang penubuhan negara Palestin yang bebas.

“Kita menuntut negara Palestin yang berdaulat dan kembali pada persempadanan sebelum 1947.

“Kalau kerat berapa kali badan saya pun, kalau tinggal daging seketul pun saya tetap dengan pendirian ini,” ujarnya lagi.

Himpunan hari ini menyaksikan kerahan luar biasa dengan kehadiran kira-kira 50 anggota Pertahanan Awam (APM) manakala tiga janakuasa bergerak RTM dilihat berada di perkarangan Masjid Putra.

Selain itu, kumpulan Wanita Umno bertudung merah dan berkain batik serta anggota Unit Amal beruniform turut kelihatan dengan beberapa sukarelawan Pas itu membawa uncang mengutip derma daripada orang ramai.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula menjadi tumpuan media sejurus selesai himpunan tersebut.

Khalil yang mewakili ayahnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahmad Zahid dan Najib menjulang tangan tanda perpaduan.