Najib jumpa Trump: Kera di hutan disusukan, anak di buaian mati kelaparan

Najib dianggap membayar BRIM paling banyak kepada Trump dalam kunjungannya ke Washington baru-baru ini.

Tindakan Datuk Seri Najib Razak membuat pelaburan dengan wang negara ke Amerika Syarikat umpama kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Yang lebih teruk lagi, ia dibuat untuk kepentingan pribadinya yang tercemar teruk di Amerika dan dunia, kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

“Bagi saya, perbuatan Najib itu adalah semata-mata untuk menaikkan imejnya yang begitu tercemar di Amerika dan dunia ekoran skandal 1MDB yang dihadapinya.

“Malah tindakan Najib itu juga sebaliknya membawa beban yang lebih berat kepada Malaysia,” kata timbalan presiden Pakatan Harapan itu.

Katanya, di bawah Najib apa yang berlaku adalah pelik dan terbalik.

“Sepatutnya Najib dan rombongan ke Amerika Syarikat mencari pelabur untuk dibawa ke Malaysia bagi mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Ketika ini, katanya, ratusan ribu mahasiswa dan belia bawah 40 (B40) sedang menganggur sementara kerja bawahan dibolot oleh orang asing. Namun apa yang berlaku Najib bawa wang Malaysia khususnya dari wang simpanan KWAP, KWSP untuk melabur di Amerika.

“Rakyat Amerika yang sudah mempunyai pekerjaan dan kaya, akan dibantu lagi oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Ini satu perkara amat pelik bagaimana negara seperti Malaysia yang taraf ekonominya, perkapitanya, pendapatannya agak rendah, pergi ke Amerika untuk meyelamatkan negara kuasa besar itu,” katanya.

Menurutnya, selepas merdeka penduduk Malaya khasnya Bumiputera sama ada di bandar atau luar bandar kekurangan pekerjaan.

Di kalangan mereka hanya bekerja secara tradisi menjadi kuli di ladang besar ataupun bersawah dan nelayan.

Kemudian kerajaan berusaha melawat ke luar negara menarik para pelabur untuk datang membuka industri di negara ini sehingga wujudlah kawasan industri seperti Bayan Lepas, Petaling Jaya, Pasir Gudang dan pelbagai tempat lain.

Maka ratusan bahkan jutaan pekerjaan dapat diwujudkan, tambahnya.

Kata Mat Sabu, di zaman Tun Mahathir, beliau begitu gigih ke luar negara termasuk ke Amerika Syarikat untuk menarik pelabur khususnya dalam bidang IT sehingga wujudnya Cyberjaya.

Begitu juga usahanya mengasaskan Proton, walaupun dikritik hebat namun ia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, katanya.

CATEGORIES
TAGS