‘Najib kadang-kadang pandai’

‘Najib kadang-kadang pandai’

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai ‘kadang-kadang pandai’ ketika mengulas pelantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara yang baharu.

“Ini Najib punya otak kadang-kadang pandai. Dia (Najib) tidak peduli. Dia lantik siapa saja yang dia mahu. Dia tidak menghormati Parlimen. Parlimen memerlukan laporan audit yang telus,” tegasnya.

Zaid IbrahimBerucap dalam Ceramah Pakatan Harapan di Taman Puteri Wangsa dekat Ulu Tiram, Johor kelmarin, Zaid menganggap bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan itu tidak layak untuk menggantikan Tan Sri Amrin Buang.

“Dia (Madinah) tiada kelayakan mengaudit. Ini masalah kita hari ini. Orang bedah tapi tidak pernah bedah langsung.

“Saya bukan hina dia. Mungkin dia pegawai kerajaan yang baik daripada segi lain tapi sebagai Ketua Audit Negara, dia tidak layak,” ujarnya yang lebih 20 tahun memiliki firma undang-undang.

Mengulas lanjut, Zaid yang juga bekas ahli Umno, PKR dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (Kita) berkata, peranan Ketua Audit Negara penting dalam memastikan akauntabiliti sektor awam dipatuhi dan wang rakyat dibelanjakan secara teratur mengikut prosedur ditetapkan.

“Ketua Audit Negara meneliti penggunaan dana di kementerian-kementerian dan seluruh negeri. Dia yang meneliti itu semuua dan menyiapkan laporan kepada ahli parlimen.

“Sebab itu jawatan tersebut penting macam Ketua Hakim Negara, tapi inilah realiti kerajaan Najib. Orang yang patut dilantik sebagai Ketua Audit mestilah orang yang pakar untuk menyiasat 1MDB untuk mengelak berlakunya ‘1MDB 2’, ‘1MDB 3’ dan ‘1MDB 4’.

“Dari isu 1MDB, orang tanya RM2.6 bilion. Masalah 1MDB bukan sekadar hutang kerana kerajaan jamin hutang-hutang itu RM40 bilion, mungkin RM50 bilion.

“Pentadbiran patut perbaiki dan pelajari kesilapan tapi nampaknya tidak apabila melantik Madinah sebagai Ketua Audit Negara untuk meneliti pentadbiran kerajaan,” tegas Zaid lagi yang menyertai DAP pada 7 Februari lalu.

Sementara itu, dalam majlis sama, Presiden Amanah Mohamad Sabu turut merasmikan pelancaran Karnival dan Jelajah Berkonvoi Amanah Johor.

Madinah, 60, yang memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) akan memegang jawatan Ketua Audit Negara berkuatkuasa 23 Februari lalu untuk tempoh dua tahun sehingga 22 Februari 2019.

Selain latar belakangnya, keputusan kerajaan melantiknya mengundang pertikaian banyak pihak apabila suami beliau, Datuk Rizuan Abdul Hamid merupakan Ketua Umno Bahagian Kepong dan pernah berterus-terang memberitahu bersedia untuk ‘mati’ demi Najib Razak.

TAGS