Malaysia Dateline

Najib ‘kalah’ satu lagi kes mahkamah

Tidak banyak orang tahu atau sedar yang Mohd Najib Abdul Razak “kalah” satu lagi kes dalam mahkamah.

Semalam (8 Februari), Mahkamah Tinggi (Bahagian Perdagangan) Kuala Lumpur mengeluarkan injunksi ex-parte Mareva bagi membekukan harta bernilai AS$681 juta (kira-kira RM2.85 bilion pada kadar tukaran hari ini) daripada sumber-sumber 1MDB dalam akaun Najib.

Perintah itu dimohon oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan empat anak syarikatnya.

Perintah terhadap Najib itu juga menghadkan pengeluaran daripada akaunnya kepada RM100,000 sebulan. Perintah itu merangkumi aset di dalam dan luar negara.

1MDB meminta perintah itu bagi menyekat sebarang pengaliran keluar AS$681 juta yang dituntut daripada Najib dan beberapa orang lain.

Mareva adalah perintah mahkamah yang membekukan harta seseorang yang ada tindakan mahkamah ke atasnya bagi menyekat pemindahan harta, termasuk duit yang disimpan dalam bank atau institusi-institusi kewangan lain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad yang membuat perintah itu menetapkan 21 Februari sebagai hari pendengaran jika terdapat bantahan daripada Najib.