Malaysia Dateline

Najib lantik firma Zaid Ibrahim kendali kes rasuah SRC, rakyat sinis anggap pandai ‘beli’ masa

Rakyat dilihat melontarkan reaksi sinis apabila Datuk Seri Najib Razak melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.

Tindakan bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. dianggap orang ramai sebagai pandai ‘membeli’ masa.

Antaranya, pengguna Facebook Fie Hussen yang berpendapat tidak mustahil tempoh masa akan dipanjangkan ekoran pelantikan firma baharu itu ketika tarikh rayuan akhir itu dijadualkan didengar selama 10 hari bermula pada 15 Ogos ini.

“Peguam baru akan minta lebih masa untuk teliti kes semula. Pandai mereka beli masa,” sinisnya.

Pendapat sama disuarakan oleh A Manaf Ahmad apabila menganggap pelantikan itu boleh dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan perbicaraan.

“Peguam baru perlu masa mengkaji kes. Mengapa sekarang baru sedar Shafee tidak sesuai?” soalnya.

Zaid Ibrahim

Untuk rekod, Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018, diberhentikan semalam dengan serta-merta.

Sementara itu, Ismail Saudiey pula memerli menyifatkan keputusan ‘Bossku’ memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya sebagai strategi terbaik.

“Pecat peguam sedia ada, lantik peguam baru, peguam baru mohon penangguhan untuk semak, teliti dokumen,” katanya.

Tidak kurang juga ramai berpendapat keputusan Najib itu tidak mustahil akan memanjangkan lagi proses mahkamah hingga tiba Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, rata-rata netizen berpendapat mana-mana peguam pun sukar untuk mempertahankan Najib susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib pada 8 Disember tahun lalu.

Suami Datin Seri Rosmah Mansor itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

“Gunalah peguam dari planet mana pun, dah salah tetap salah,” selar Azman Awang.

Dilaporkan firma guaman Tetuan Shafee & Co memaklumkan pemberhentian pelantikan itu melalui sepucuk surat Pemakluman Perberhentian Kaunsel dan Peguam Cara kepada pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh hari ini.

Melalui surat itu, Tetuan Shafee & Co berkata, firma guaman itu menerima surat daripada Najib pada jam 5 petang semalam, yang memberhentikan Muhammad Shafee dan peguam cara lain daripada firma itu dengan serta-merta daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes SRC International.

Menerusi surat yang sama, firma itu menyatakan bahawa Najib memaklumkan yang beliau melantik ZIST sebagai peguam cara baharu.

Baca juga Mampukah Najib bebas dengan 94 alasan di mahkamah?

Baca juga Jenazah Iman Aqmar akhirnya dikebumi, hujan mengiringi perjalanan terakhir