Najib membuli rakyat, bohong mengenai subsidi minyak, kata Rafizi

Najib membuli rakyat, bohong mengenai subsidi minyak, kata Rafizi

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan harga minyak yang tidak naik sejak sebulaan lalu jelas menunjukkan kerajaan BN membohongi rakyat kononnya akan menghapuskan subsidi minyak.

“Saya telah membuat kiraan berdasarkan formula penetapan harga yang digunakan kerajaan sendiri untuk melihat berapa harga minyak yang sebenarnya sejak 4 minggu yang lalu.

“Harga minyak mentah dan kadar tukaran wang diperolehi dari sumber Bloomberg, sementara harga rujukan MOPS95 yang digunakan kerajaan diambil dari penerbitan Australian Institute of Petroleum.

“Harga minyak mentah telah melonjak naik dari USD67.64 setiap tong pada 2 April iaitu sebelum parlimen dibubarkan, kepada USD75.17 setiap tong semalam (iaitu peningkatan 11% dalam tempoh sebulan).

“Anehnya, harga RON95 yang ditetapkan secara mingguan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak pula menunjukkan perubahan dan kekal pada harga RM2.20 seliter untuk RON95 bagi empat minggu berturut.

“Itu memberi gambaran bahawa Datuk Seri Najib secara senyap-senyap telah memperkenalkan kembali subsidi minyak semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini sedangkan beliau juga yang cukup memusuhi subsidi minyak sebelum ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya berdasarkan formula yang digunakan kerajaan sendiri, harga RON95 esok sepatutnya RM2.38 seliter iaitu naik 18 sen dari hargayang ditetapkan kerajaan.

Katanya lagi, apabila Najib menggunakan kaedah subsidi untuk menstabilkan harga minyak sepanjang musim pilihan raya ini walaupun harga minyak mentah dunia naik melambung, itu mengesahkan kebenaran pendirian Pakatan Harapan bahawa harga minyak boleh diturunkan dan distabilkan melalui subsidi.

“Tindakan menarik balik dan memberikan kembali subsidi minyak sesuka hati ikut kemahuan Perdana Menteri adalah satu tindakan yang membuli rakyat.

“Apabila rakyat tidak lagi boleh bergantung kepada satu peraturan yang tetap kerana ia diubah-ubah mengikut kepentingan Datuk Seri Najib, ia samalah seperti rakyat dibuli oleh kerajaan kerana nasib rakyat bergantung kepada cita rasa kerajaan pada ketika itu.

“Sementara saya mengalu-alukan keputusan mengembalikan subsidi untuk mengelakkan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel, tindakan memanipulasi penetapan harga minyak mingguan demi meraih undi ini adalah satu tindakan membuli rakyat.

“Selama ini, Datuk SeriNajib membohongi rakyat apabila beliau berdegil mahu menghapuskan subsidi minyak atas alasan kerajaan tidak berkemampuan untuk menanggung lagi subsidi petrol dan diesel. Beliau juga mencanang kononnya menaikkan harga minyak apabila subsidi dihapuskan adalah satu tindakan yang bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0