Najib minta kelulusan Kabinet untuk kerajaan jamin pinjaman SRC, kata saksi

Najib minta kelulusan Kabinet untuk kerajaan jamin pinjaman SRC, kata saksi

Seorang setiausaha kerajaan di bawah pentadbiran terdahulu pimpinan Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas perdana menteri itu membentangkan memorandum dalam 2 mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International Sdn Bhd sebanyak RM2 bilion.

Mazidah Abdul Majid yang merupakan timbalan ketua setiausaha (Kabinet) sehingga Jun 2018, berkata Najib berbuat demikian menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Februari 2012 yang dipengerusikan ahli Parlimen Pekan itu.

“Ia adalah pinjaman 10 tahunbagi SRC membiayai pelaburannya dalam industri sumber asli.

“Memorandum oleh menteri kewangan (Najib) itu juga untuk mendapatkan kelulusan Kabinet memberi pengecualian cukai dan duti setem kepada SRC serta memberi persetujuan untuk menteri kewangan menentukan terma pinjaman itu,” katanya dalam perbicaraan Najib berkaitan SRC International hari ini seperti dipetik FMT.

Mazidah berkata, latar belakang 1MDB dan SRC, serta implikasi jaminan kerajaan itu disebut dalam memorandum 8 Februari 2012.

“Saya hadir untuk mencatatkan minit mesyuarat. Kecuali Idris Jala dan Ahmad Husni Hanadzlah, anggota Kabinet lain menghadiri mesyuarat itu,” katanya merujuk bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas menteri kewangan II.

Antara menteri yang hadir dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Februari itu adalah Muhyiddin Yassin yang merupakan timbalan Najib ketika itu, Rais Yatim, Shafie Apdal dan Mustapha Mohamed.

Muhyiddin, Rais dan Mustapha kini bersama PPBM, manakala Shafie meninggalkan Umno untuk membentuk Warisan.

Mazidah berkata, Najib membentangkan satu memorandum dalam mesyuarat Kabinet pada 17 Ogos 2011 berhubung jaminan kerajaan buat SRC International, tetapi isu itu tidak dibincangkan.

“Minit mesyuarat itu tidak direkodkan.”

Najib, 66, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya dan 3 pertuduhan pengubahan wang ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Najib didakwa melakukan kesalahgan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Nazlan Ghazali.