Najib monyok sebab bukan biasa makan nasi, kata Rafizi

Najib monyok sebab bukan biasa makan nasi, kata Rafizi

Wajah murung Najib Razak ketika di meja makan dalam program BN seperti terdapat pada gambar yang dilihat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bukan kerana takut kalah PRU-14.

Sebaliknya, pengasas Invoke itu berpendapat nasi bukanlah makanan lazim bagi Najib dipercayai merujuk kepada pengakuan Pengerusi BN tersebut sebelum ini yang mengambil bijirin jenis quinoa.

“Dia bukan biasa makan nasi. Di rumah, dia makan benda lain.

“Bila pergi kempen, dia kena makan nasi sama seperti rakyat Malaysia yang lain, dia monyoklah,” sindirnya dalam ceramah Jelajah Bina Semula Negara di Permatang Pauh semalam.

Rafizi kemudiannya menyifatkan kemurungan itu terpancar kerana Najib tahu pandangan antarabangsa tentang penerimaan segenap lapisan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin meningkat.

“Dia (Najib) makin tahu gelombang rakyat Malaysia Melayu, Cina dan India yang menolak BN semakin hari semakin kuat,” tegasnya.

Mengulas keraguan pihak tertentu tentang peluang PH memenangi PRU-14, penyandang Parlimen Pandan itu sebaliknya yakin PH mampu menjatuhkan BN.

“Saya senyum telinga ke telinga sebab setiap hari saya tengok angka sokongan. Saya yakin menang.

“Kita hanya perlukan 30 kerusi saja lagi nak menang. Sekarang ini, orang semua marah kepada Najib.

“Sekarang bukan saja harga minyak naik. Harga barang, gandum, gula pun naik. Buat GST pula, China dari Beijing dikecualikan, Cina Malaysia kena.

“Sebab itu, kalau orang tanya boleh menangkah (PH)? PRU 2008 dulu, ‘dosa’ Pak Lah hanya tidur dalam pejabat dan naikkan harga minyak.

“Rakyat hukum dia dengan hilang lima negeri, yang dulu menang 20,000, boleh kalah (majoriti) 25,000 (undi),” hujahnya.

Bahkan, jelas Rafizi, Abdullah ketika itu tidak dikaitkan dengan pelbagai skandal salah guna wang rakyat.

“Pak Lah tidaklah curi duit macam sekarang ini. Pak Lah tidaklah buat GST yang tiap-tiap hari rakyat marah.

“Dan Pak Lah bini dia bukan Rosmah Mansor. Dulu mana ada orang macam mak cik Rosmah ni,” sinisnya lagi.

Rafizi berucap dalam siri ceramah Bina Semula Negara anjuran Invoke.