Malaysia Dateline

Najib nombor satu dalam senarai pangkalan data pesalah rasuah

Datuk Seri Najib Razak mendahului senarai pesalah rasuah yang dikemas kini di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Butiran mengenai bekas Perdana Menteri itu lengkap dengan nombor kad pengenalan 530723-06-5165 diikuti maklumat dan gambar 631 pesalah lain.

Ahli Parlimen Pekan itu berada di paparan muka pertama bahagian statistik data dengan status kes ‘sedang dirayu’.

Data itu dimasukkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu bahawa Najib didapati bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Suami Datin Rosmah Mansor itu didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah gunakan kuasa membabitkan dana SRC iaitu bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Laman web itu memaklumkan, objektif utama pangkalan data pesalah rasuah adalah untuk menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa perang telah diisytiharkan terhadap rasuah.

Data tersebut juga sebagai alat kesedaran bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.

Turut dinyatakan, data pesalah itu sebagai pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Maklumat mengenai mereka dan kesalahan yang dilakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM.