Najib perlu jujur terima kekalahan Umno-BN, kata Adun Permatang Pasir

Najib perlu jujur terima kekalahan Umno-BN, kata Adun Permatang Pasir

Datuk Seri Mohd Najib Razak seharusnya bersikap lebih jujur dalam mempertahankan dirinya daripada siasatan yang sedang dijalankan dan bukannya berbohong kepada rakyat kononnya beliau difitnah, kata Faiz Fadzil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu semalam yang mendakwa kekalahan Barisan Nasional (BN) berpunca daripada fitnah pembangkang jauh daripada fakta sebenar.

“Sikap lidah bercabang Datuk Seri Najib Razak ini ternyata memperlihatkan kerisauan beliau berhadapan siasatan yang dijalankan.

“Isu skandal korupsi berskala mega yang menyelebungi pentadbiran Datuk Seri Najib sebelum ini terutama skandal 1MDB adalah berdasarkan fakta benar yang gagal disangkal secara positif oleh beliau yang akhirnya telah membangkitkan semangat rakyat terbanyak menolak BN.

Datuk Seri Mohd Najib Razak

Datuk Seri Mohd Najib Razak

“Hutang 1MDB yang dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2016 sebanyak RM50 bilion tidak dibayar 1MDB tetapi ditanggung oleh kerajaan Malaysia yang menunjukkan berlakunya penyelewengan wang negara.

“Ini adalah kerana sebahagian besar hutang tersebut tidak dibelanjakan untuk projek-projek 1MDB tetapi hilang tanpa penjelasan konkrit.

“Sebagai contoh, Laporan PAC tersebut mengesahkan bayaran USD3.5 bilion (RM14 bilion) dibayar kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd. Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sudah pasti mengetahui fakta ini tetapi gagal menyangkalnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH berkata, bekas presiden Umno itu juga gagal menentang saman ‘civil forfeiture’ oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat walaupun saman tersebut mendedahkan MO1 menerima RM2.6 bilion wang 1MDB.

“Di samping itu, Datuk Seri Najib juga hingga kini masih gagal menyaman Wall Street Journal (WSJ) jika benar skandal 1MDB suatu fitnah terhadap beliau walaupun telah berjanji melakukannya pada hari selasa.

“Menjelang esok, sudah berlalu 151 kali hari Selasa, namun saman tidak juga kunjung tiba,” ujarnya.

Semalam bekas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 berpunca daripada ‘fitnah’ parti pembangkang.

Katanya, kempen yang bersifat terlalu menyerang peribadi dan menabur fitnah dan kebencian serta janji-janji manis yang sebahagian besar jelas takkan dapat dilaksanakan malangnya telah menyebabkan kekalahan kepada Umno dan BN dalam PRU lalu, ketika beliau berucap di hadapan penyokongnya di Pekan.

6.0
OVERALL SCORE
3 user votes x 8.0
CATEGORIES