Malaysia Dateline

Wan Azizah himpunan hapus kleptokrasi

Najib perlu pastikan peralihan kuasa yang baik, kata ketua pembangkang

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memperlekeh kekuatan Pakatan Harapan (PH) dalam membina Malaysia yang lebih baik.

Sebaliknya Najib katanya, perlu mengumumkan kesediaan beliau menerima kehendak rakyat dan memastikan peralihan kuasa yang baik jika PH memenangi PRU14 nanti.

“Saya ingin mencadangkan agar Najib tidak memperlekeh kekuatan dan iltizam Pakatan Harapan dalam membina Malaysia yang lebih baik, dan sebaliknya beliau perlu mengumumkan bahawa beliau bersedia menerima kehendak rakyat dan memastikan peralihan kuasa yang baik sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14 nanti,” katanya dalam kenayataan hari ini.

Beliau juga menggesa Najib memberanikan diri untuk berdebat dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyangkal segala dakwaan yang telah dibuat terhadap pentadbiran beliau.

Dalam pada itu, Presiden PKR itu turut membidas tindakan Najib memburuk-burukkan PH dalam acara di ibu negara hari ini.

“Kecaman DS Najib Razak pagi tadi di program Invest KL 2017 terhadap pimpinan Pakatan Harapan cukup memalukan dan membuktikan betapa terdesaknya beliau untuk mencemar nama baik Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Najib itu menunjukkan betapa takutnya beliau sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14, maka para kleptokrat dan perompak wang rakyat akan dibawa ke muka pengadilan.

“Pada ketika Pakatan Harapan semakin kukuh dan kuat dari hari ke hari dan semakin bersiap sedia untuk berhadapan dengan UMNO-BN di PRU14 nanti, pentadbiran DS Najib terus terpalit dengan krisis dan skandal kewangan seperti 1MDB,” katanya yang juga Presiden Pakatan Harapan.