Najib perlu selesai masalah air Pahang, bukan sibuk hal air Selangor

Najib perlu selesai masalah air Pahang, bukan sibuk hal air Selangor

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dinasihati menyelesaikan masalah bekalan air yang semakin teruk di Pahang dan tidak sibuk ‘menyerang’ kerajaan negeri Selangor ekoran gangguan bekalan air di negeri itu baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sebelum Najib menyalahkan kerajaan Selangor, beliau sepatutnya meluangkan masa meninjau keadaan bekalan air di Pahang, negeri kelahirannya.

“Di Pahang masalah air berlaku tiap-tiap hari. Bukannya dua tiga hari disebabkan saluran paip lama yang ada sudah melebihi 20 tahun,” kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu kepada Roketkini.

Menurutnya, masalah bekalan air di Pahang bukan hanya berlaku di kawasan pinggir bandar atau bandar sahaja tetapi juga di perkampungan masyarakat Orang Asli seluruh Pahang.

Tengku Zulpuri Shah Tengku Puji

Masalah air di Pahang jelas Tengku Zul boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu masalah air permukaan (seperti bahagian muka sauk) tempat sedutan air di loji yang tidak cekap kerana cetek akibat musim kemarau; dan isu mekanikal saluran yang tidak lagi mampu menampung bekalan air yang ada.

Lebih memburukkan keadaan, Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) gagal mengambil kira pembangunan setempat dalam perancangan bekalan air mereka sehingga menyebabkan bekalan air tidak mencukupi.

Selain dilihat gagal merancang sistem bekalan air dengan baik, kerajaan BN Pahang juga kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab itu menanggung beban hutang yang tinggi melebihi RM3 bilion.

“RM2 billion daripada hutang-hutang ini adalah bersangkutan dengan masalah air,” kata beliau.

Selain itu, oleh kerana gangguan bekalan air sudah menjadi kelaziman di Pahang, ia menyebabkan sebahagian syarikat pemaju perumahan menawarkan rumah yang dilengkapi dengan pam air khas di kawasan tertentu.

“Apa yang boleh saya nyatakan di sini bahawa Datuk Seri Najib sebenarnya gagal di negeri sendiri apatah lagi Malaysia.

“Beliau sepatutnya menyediakan satu dasar yang eksklusif dan ke hadapan bagi menyediakan keperluan asas seperti air untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi.

7.5
OVERALL SCORE
: 5.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS