Najib perlu tunjuk bukti bayaran balik GST, kata Mahathir

Najib perlu tunjuk bukti bayaran balik GST, kata Mahathir

Datuk Seri Mohd Najib Razak harus mengemukakan bukti sekiranya wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18bilion tidak hilang ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya wang itu tidak hilang, patut tanya (Najib), di mana wang itu pergi?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media selepas kunjungan ke pameran lukisan – Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab soalan tuduhan pihak tertentu bahawa wang bayaran balik GST itu digunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir juga menegaskan walaupun kerajaan sedang menghadapi kekangan kewangan, namun situasi itu tidak memaksa kerajaan PH menggunakan wang berkenaan.

Sebaliknya, Dr Mahathir menyalahkan kepemimpinan kerajaan terdahulu banyak menggunakan wang untuk membayar dan menyelesaikan hutang.

Dr Mahathir turut menyalahkan sikap buruk pemimpin dalam kalangan kerajaan terdahulu yang secara semberono menyeleweng wang kerajaan.

“Walaupun kita tidak mempunyai wang, namun kita tidaklah bertindak mencuri wang kerajaan seperti mana yang Najib lakukan.

“Orang ramai harapkan kita untuk beri wang kepada mereka disebabkan sikap yang dibentuk oleh Najib sendiri.

“Najib bagi wang kepada orang ramai secara bebas dan cara itu menyebabkan masyarakat harap kita buat perkara sama seperti Najib,” katanya.

Isu sejumlah wang GST RM18 bilion hilang didedahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, yang mendakwa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Guan Eng sekali lagi membangkitkannya di Dewan Rakyat dan dilaporkan berkata, audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati RM18 bilion ‘hilang’ dari tabung bayaran balik GST.

Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan daripada jumlah tunggakan itu, sebanyak RM9.2 bilion atau 47 peratus adalah bagi tahun ini; RM6.8 bilion (35 peratus) 2017; RM2.8 bilion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.

Baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, sekali gus memperlihatkan kekurangan kira-kira RM18 bilion.

9.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS