Malaysia Dateline

Najib persoal kenapa Biden tidak undang PM Malaysia

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa Malaysia tidak tersenarai dalam undangan ke Sidang Puncak Pimpinan mengenai iklim, yang akan diadakan secara maya bulan depan.

Beliau berkata, melawan perubahan iklim dan pencemaran adalah antara janji dan agenda utama Joe Biden ketika dia berkempen untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Kerana itu katanya, berita Biden mengundang 40 pemimpin dunia pada April depan menjadi berita terbesar dunia.

“Jadi, mengapa pula Malaysia tidak diundang jika ianya adalah melalui kaedah persidangan online?

“Line (talian) internet Malaysia tak stabil ke?

“Atau Malaysia sedang dilihat sebagai sedang ketinggalan dalam usaha melawan perubahan iklim dan pencemaran?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Amerika Syarikat telah mengundang 40 pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk menghadiri Sidang Puncak Pemimpin mengenai Iklim

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih, sidang berkenaan akan diadakan secara maya pada 22 dan 23 April yang akan disiarkan secara langsung.

Pemimpin-pemimpin dunia lain yang diundang termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga dan Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand.

Turut diundang termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga dan Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand.