Malaysia Dateline

Najib pun pernah rasmi balai bomba, kata Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berhubung perasmian Balai dan Kuarters Bomba Kimanis pada Sabtu lalu.

Katanya, Najib pun pernah melakukan perkara sama dengan merasmikan sesuatu projek pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

 “Najib tu buat tidak tahu sahaja, bukan dia tak tahu. Dia pun pernah buat kerja tu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, seperti dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.

Najib, Sabtu lalu berkata, Balai dan Kuarters Bomba Kimanis yang dirasmikan Zuraida adalah satu projek kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Yang kamu rasmi tahun 2020 ini kenapa?

 “Untuk pengetahuan orang Kimanis, ini projek diluluskan oleh BN. Bajet RM7.73 juta kita beri.

“Mentang-mentang ada PRK, masa ni la menteri-menteri PH berlumba-lumba nak rasmi itu, ini di Kimanis,” katanya di Facebook.

Zuraida sebelum ini berkata, lapan lagi balai bomba baharu bakal dibina di Sabah pada tahun ini.

Antaranya di Putatan, Kudat, Merotai, Nabawan, Lahad Datu, Semporna dan Beaufort.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau telah menerima surat minta maaf daripada Setiausaha Politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Katanya, surat itu diterima Khamis lalu dan telah menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

“Saya baru terima surat itu pada Khamis lalu, walaupun dia dibawa telah hantar pada 23 Disember.

“Saya terima pada 2 Januari dan saya telah beri kepada peguam saya,” katanya.

Rabu lalu, Farhash menghantar notis tuntutan kepada Naib Presiden PKR itu berhubung ucapannya pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara selepas Kongres Nasional PKR pada 8 Disember lepas.

Notis itu menyatakan beberapa bahagian dalam ucapan Zuraida itu membawa maksud Farhash seorang “gangster”, ada “niat jenayah” dan “agenda tersembunyi”, dan “menggunakan keganasan dan taktik menakut-nakutkan” untuk mencapai matlamat.