Malaysia Dateline

Najib pun tidak pakai pelitup muka kecam Teresa

Teresa (dua kiri) bersama tiga pemimpin lain DAP bergambar dengan Mahathir.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Mungkin itu pepatah yang sesuai dipadankan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu melalui laman tersohor Facebook (FB) miliknya mengecam Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dianggap tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Najib mempersoalkan pemimpin DAP itu yang tidak mengenakan pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial apabila bergambar bersama Tun Dr Mahathir di Dewan Rakyat pagi tadi.

Namun, dalam hantaran Teresa di FB memberitahu mereka mematuhi SOP tersebut termasuk memakai pelitup muka.

“Pada zaman Covid ini, kita sering disuruh patuh SOP, pakai mask dan amalkan penjarakan sosial – terutamanya dengan kumpulan warga emas yang paling berisiko tinggi.

“Lalu, Teresa Kok pun buat posting kata mereka patuh SOP, pakai mask dan amalkan penjarakan sosial semasa di Dewan Rakyat hari ini.

“Dalam posting yang sama pula, Teresa Kok turut muat naik gambar yang buktikan geng PH (Pakatan Harapan) (termasuk dia sendiri) tak patuh SOP, tak pakai mask dan tak amalkan penjarakan sosial dengan warga emas di Dewan Rakyat.

“Agaknya ada apa yang tak kena dengan akal Teresa Kok ni?” bidas Najib yang kemudiannya menerima sebanyak 28,000 tanda emoji, hampir 4,000 komentar dan 1,100 perkongsian selepas hanya tiga jam dimuat naik hari ini.

Tambah sinis, bekas Pengerusi BN itu mengejek Teresa dengan mengaitkan seloroh Teresa tahun lalu yang berasa lebih muda selepas mengamalkan minum sehari sesudu ekstrak minyak sawit dara atau minyak sawit merah.

“Saya saran Teresa naikkan dos sawit kepada lima sudu sehari. Satu sudu dah lama terbukti tak cukup untuk dia.

“Apa hukuman tak patuh SOP dalam Dewan Rakyat?” soal Najib lagi.

Untuk rekod, seramai 950 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media yang terlibat dengan sidang Parlimen hari ini terlebih dahulu telah menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat mulai 13 Mei lalu.

Susulan sindiran itu, Teresa kemudiannya membalas sindiran Najib dengan melampirkan tangkap layar hantaran Najib tersebut berserta kapsyen, “Kesian Najib. Ada split personality.”

Teresa juga dalam reaksi di laman rasminya menyertakan gambar Najib yang turut tidak mengenakan pelitup muka bergambar bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam foto itu, pelitup muka Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berada di bawah dagu, Azeez yang sedang berdiri langsung tidak memakai pelitup muka manakala Najib sendiri dilihat hanya memegang barangan itu.

“Najib kecam Teresa tak pakai mask tapi mana mask Jibby?” tempelak Teresa dalam FB miliknya.

Dalam masa sama, hantaran Teresa itu juga dikritik pengguna FB lain yang rata-ratanya terdiri daripada bukan Melayu walaupun sebahagian lain hanya menyerang Najib, Zahid dan Azeez dengan mengaitkan tuduhan rasuah.

Antaranya, pengguna FB Joe Kew yang menyifatkan masalah dengan semua ahli politik adalah mereka saling mencari kesalahan lawan untuk meningkatkan populariti masing-masing.

“Tidak serius dalam perang yang berterusan terhadap serangan Covid-19. Siapa menteri pertama yang mendapat kehormatan ditembak oleh Covid-19? Kita tunggu!” tulisnya.

Sementara itu, Chua Sieh Mann pula berkata, “mari kita berharap tidak ada kluster Parlimen.”

Tidak ketinggalan Muralitharan Ramachandran yang menganggap Teresa sah tidak memahami bahasa kebangsaan.

“Dia (Teresa) sendiri yang kata dia pakai mask jadi DS Najib tanya la mana mask dia… Lain pulak yang dijawab.

“Memang sah dos satu sudu minyak sawit tak mujarab untuk dia…,” tempelak Muralitharan lagi.