Najib Razak mohon bantuan kerajaan, sekat Netflix siarkan dokumentari 1MDB

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon kerajaan Malaysia supaya mengarahkan Netflix berhenti menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Man On The Run’.

Dokumentari tersebut membongkarkan konspirasi rasuah dan pengkhianatan yang menjejaskan kestabilan kewangan negara diketuai ahli perniagaan buruan, Jho Low.

Low dengan ‘kerjasama’ Najib yang ketika itu pemimpin nombor satu negara telah mengeksploitasi dana kekayaan negara menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dana 1MDB bernilai berbilion ringgit itu disalur keluar bagi menanggung gaya hidup mewah Low termasuklah pesta Hollywood dan pembikinan filem The Wolf Of Wall Street.


Menurut Najib Razak, dokumentari itu adalah satu bentuk penghinaan dan subjudis terhadap perbicaraan rasuah 1MDB yang sedang berlangsung membabitkan dirinya dengan jumlah penyelewengan bernilai RM2.27 bilion, lapor Malaysia Kini.

Bekas Menteri Kewangan itu juga akan memfailkan saman fitnah dan permohonan menghina mahkamah kepada bekas peguam negara, Tommy Thomas dan Clare Rewcastle-Brown selaku pengasas Sarawak Report.

Hal ini kerana, kedua-dua individu berkenaan tampil dalam sesi temu bual yang turut ditayangkan dalam dokumentari Man On The Run arahan Cassius Micheal Kim itu.

Perkara tersebut disampaikan oleh peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi tadi (Isnin).

“Program (dokumentari) itu sangat subjudis dan menghina,” kata Shafee menyampaikan aduan Najib kepada hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah memetik laporan Malaysia Kini.

Sekadar info, penonton dokumentari tersebut akan dapat melihat temu bual eksklusif bersama ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Charles W O’Neal dan David Smith yang memainkan peranan penting dalam penyiasatan skandal rasuah tersebut.

Lebih menarik lagi, program itu turut menayangkan sesi wawancara terakhir bersama Najib sebelum bekas Ahli Parlimen Pekan itu dihantar ke penjara selepas disabit kesalahan berkaitan skandal 1MDB.

Baca juga: Akhirnya dapat dengar suara bakal isteri Putera Mateen, Majlis khatam al-Quran Dayang Anisha curi tumpuan