Najib, Rosmah lawat Arab Saudi, bertemu Raja Salman

Najib, Rosmah lawat Arab Saudi, bertemu Raja Salman

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi bermula hari ini hingga 3 Mac, lapor Bernama.

Najib dan isteri akan diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Wahid Omar serta para pegawai kanan kerajaan.

YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama mengenai Private Public Partnership di Forum Ekonomi Jeddah (JEF) pada 1 Mac 2016. JEF merupakan medan pertemuan bagi pemimpin-pemimpin, ahli-ahli ekonomi dan perniagaan dari serata dunia untuk mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu-isu global.

Semasa berada di negara tesebut, Perdana Menteri dijadualkan mengadap Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota Mohammad bin Naif Al-Saud dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed bin Salman Al-Saud.
Majlis-majlis tersebut, kata Kementerian Luar akan memberikan peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

Najib juga dijadual melawat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini ditempatkan di Hafar Al Batin.

Menurut Wisma Putra, lawatan kerja Perdana Menteri itu akan menjadi penanda aras hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Ia akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha untuk meningkat dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara yang telah sedia terjalin.

“Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang akrab di antara kedua-dua buah negara khususnya dari aspek politik, ekonomi, pertahanan dan hal ehwal haji,” kenyataan itu dipetik.

Arab Saudi adalah salah satu rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Jumlah dagangan dua hala bagi tahun 2015 bernilai RM10.95 bilion dengan import sebanyak RM7.53 bilion dan eksport sebanyak RM3.42 bilion.

TAGS