Malaysia Dateline

Najib salahkan MKN kerana tak dengar nasihat Menteri Kesihatan

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menyalahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana gagal mengawal penularan Covid-19 yang melanda negara.

Beliau berkata, kerana tidak mahu mendengar nasihat Kementerian Kesihatan dari Umno, MKN menolak cadangan kementerian tersebut untuk melaksanakan kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari Sabah sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menurutnya, jika Menteri Bersatu tidak melakukan kesilapan dengan mewajibkan kuarantin, gelombang ketiga Covid-19 tidak akan berlaku ketika ini.

“Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negara menyebabkan kluster Sivagangga berlaku di Kedah.

“Kegagalan Menteri PPBM untuk mengasingkan tahanan dengan SOP yang sepatutnya juga telah menyebabkan penularan teruk berlaku di Sabah dan beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

“Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini selain meluahkan akhirnya Umno masih lagi dipersalahkan untuk gelombang ketiga yang terjadi.

Menerusi catatan awalnya, Najib berkata Umno sentiasa dipersalahkan dalam pelbagai perkara sehingga menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati akar umbi.

Walhal katanya, Perdana Menteri dan pengganti PM adalah dari Bersatu dan dalam hal ekonomi pula, Menteri Kewangan bukanlah dari BN mahupun dari Pas

Termasuklah Menteri ekonomi dan Menteri yang menjaga perdagangan luar, juga bukan dari BN atau Pas.

Malah katanya, tiada seorang pun dari partinya atau Pas dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid-19.

“Sebaliknya, individu seperti boss The Edge dilantik ke dalam pula bersama tiga orang menteri PPBM.

“Umno kini digelar gila kuasa pulak?,” soalnya.