“Saman segera WSJ atau letak jawatan,” Dr. Dzulkefly cabar Najib

“Saman segera WSJ atau letak jawatan,” Dr. Dzulkefly cabar Najib

 

 

 

 

 

 

Dr Dzulkefly Ahmad

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didesak meletakkan jawatan sekiranya masih lagi tidak mahu bertindak menyaman media asing Wall Street Journal (WSJ) yang didakwanya membuat tuduhan palsu kali kedua terhadap isu derma RM2.6 bilion.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, terkini pengarang kewangan WSJ Ken Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia,semalam, dipetik sebagai berkata berkata wang derma RM2.6 bilion itu adalah bukan daripada keluarga Diraja Arab Saudi.

“Sebaliknya sumbernya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Brown turut membayangkan lebih banyak maklumat akan diketahui umum apabila pihak berkuasa luar negara melanjutkan siasatan mereka dalam beberapa bulan akan datang. Ini adalah tuduhan WSJ buat kali kedua.

“Pada 26 Januari lalu Peguam Negara membebaskan Najib dari apa jua kesalahan tentang derma RM2.6b dan RM42juta dari SRC Int’l kerana ‘tidak dapat bukti yang cukup’.

“Najib bercita-cita untuk menutup kes derma ini dan menyuruh negara ‘move on’. Memang tidak ada sesiapa pun yang sanggup untuk mempercayai keputusan Apandi (termasuk sebahagian orang Umno sendiri). Keputusan Apandi ini telah menjadi lawak jenaka antarabangsa! Kini pelbagai maklumat akan terdedah, harri demi hari untuk melengkapkan ‘bukti yang tidak cukup’ itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Dzulkefly juga menuebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahukan semakan semula keputusan peguam negara yang menutup siasatan terhadap derma RM2.6 bilion melalui membentangkan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

PPO merupakan satu badan bebas dibentuk kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009. Pelbagai dakwaan ke atas Najib yang dikemukakan pihak SPRM tidak dilayani Apandi.

“Apandi, sepatutnya perjelaskan mengapa Bank Negara Malaysia mengenakan penalti RM53.7juta ke atas AmBank bersabitan urusniaga bersabitan akaun Najib Razak. Apakah salah mereka? Najib dikatakan tidak tahu menahu tentang perpindahan itu tetapi menggunakan dana itu dengan kredit kadnya? Juga, di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 1961 menyebutkan menerima dana atau wang oleh penjawat awam dianggap rasuah. Bagaimana pula tidak cukup bukti?,” soalnya.

Justeru katanya lagi, pada Julai 2015 WSJ mendedahkan tentang derma RM2.6bilion dan RM42juta dari SRC dalam akaun peribadi. Dua kali perpindahan; US$620juta dan US$61juta pada bulan Mac 2013, dari sebuah syarikat kewangan Tanore Finance, berdaftar di British Virgin Islands sebelum PRU ke-13.

“Dana itu dipindahkan ke Swiss bank (Falcon Private Bank di Singapura) dimilikki oleh International Petroleum Invest¬ment Co (IPIC), sebuah dana Abu Dhabi, kepada akaun AmIslamic Bank cawangan di Kuala Lumpur milik PM Najib. Najib yang kononnya mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan saman kepada WSJ.

“Namun surat tersebut akhirnya dihantar sebagai surat mengesahkan laporan berkenaan semata-mata. Begitu juga perihal ‘money trail’ dana RM42juta dari SRC Int’l.

“Pada 6 Feb lalu, seorang Menteri Saudi tegaskan dana yang diberikan bukanlah derma tetapi pelaburan.

“Berikutnya, pada 11 Feb, sebuah badan penyelidik a/bangsa BMR Research, milik Fitch Group, sebuah Badan Penarafan Antarabangsa, membuat pernyataan bahawa pelabur dan pengurus dana antarabangsa tidak berani untuk melabur di Malaysia selagi tidak selesai masalah ini kerana takut terpalit dalam urusniaga yang dipersepsi sarat dengan amalan rasuah.

“Pada 27 Jan seluruh media a/bangsa; WSJ &NYT (USA), Independent, Guardian (UK), Bloomberg, BBC, CNBC dll memberi laporan negatif tentang keputusan Apandi dan siasatan tentang pelbagai kesalahan urusniaga 1-MDB khasnya melanggari undang-undang a/bangsa AMLA dan Exchange Control Act adalah Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat,” jelasnya.

Menurut Dr Dzulkefly lagi tuduhan Ken Brown adalah sangat berat dan meruntuhkan segala kredibiliti dan maruah negara yang telah sedia tercalar.

Namun Sehingga kini, pemimpin tertinggi negara belum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap WSJ sejak tuduhan yang pertama dahulu.

“Rakyat di negara menuntut supaya PM Najib Razak saman segera WSJ, kalau benar mereka membuat tuduhan palsu untuk kali kedua ini!

“Tuduhan WSJ adalah sangat berat buat negara Malaysia yang berdaulat ini sekaligus menghancurkan nama baik, integriti dan maruah negara ini! Kesan dan kemudaratan bukan kepalang buat negara.

“Seandainya Najib tidak mahu menyaman WSJ, maka seluruh rakyat menuntut PM Najib Razak, demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat, supaya segera meletakkan jawatannya selaku PM dan Menteri Kewangan,” ujarnya.

TAGS