Najib sebenarnya jual negara, dakwa Pulau Pinang

Najib sebenarnya jual negara, dakwa Pulau Pinang

Amat malang bagi perdana menteri apabila sanggup memburukkan negeri dalam Persekutuan semata-mata kerana politik peribadi sedangkan dimasa yang sama beliau bertindak ‘menjual negara’ dengan melaksanakan projek berkos tinggi bertujuan membayar hutang 1MDB yang dipenuhi skandal penyelewengan, kata Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang amat memalukan apabila Datuk Seri Najib Razak tidak menilai statistik terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang paling teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng.

“Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?” katanya dalam kenyataan.

Jelas Saifuddin, mengikut laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, agensi di bawah Kerajaan Persekutuan ini telah membuktikan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan.

“Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang,” katanya.

Menurut beliau juga, pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas.

“Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh Umno-BN seperti Kedah dan Melaka,” katanya lagi.

Dalam masa tempoh lima tahun pula katanya, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan apabila pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6% kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5% pada tahun 2010.

“Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Definisi luar negara

Sementara itu, Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata, Najib menggunakan hujah-hujah syarikat-syarikat nasional juga terlibat dalam pelaburan di luar negara untuk menyangkal dakwaan pembangkang bahawa kerajaan Umno-BN cuba menjual negara.

Beliau menjelaskan, ‘jual negara’ bermaksud apabila kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek berkos tinggi yang bertujuan untuk membayar hutang sesebuah syarikat yang penuh dengan skandal penyelewengan.

“Kerajaan Umno-BN merancang projek East Cost Railway Line (ECRL) dengan kos RM55 bilion untuk tujuan membayar hutang 1MDB seperti didakwa oleh Sarawak Report. Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China. Jika projek ini gagal membiayai kos, sudah tentu Kerajaan Persekutuan yang akan datang terpaksa menanggung kos,” katanya.

Beliau juga berkata, tindakan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City menunjukkan Najib sebenarnya yang cuba menjual negara.

“Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah ‘leasehold’ dan mempunyai had tempoh pajakan. Tetapi realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status ‘freehold’ atau pegangan bebas! Adakah Najib cuba sembunyikan hakikat bahawa sebahagian tanah di Johor akan dikuasai oleh pelabur asing buat selama-lamanya?” soalnya.

Justeru katanya, lawatan pelaburan Najib ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan profil Malaysia.

Hal ini ujarnya dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka FDI juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib.

“Amat malang Malaysia ini apabila Najib masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat. Amat malang apabila seorang perdana menteri sanggup memburukkan beberapa negeri dalam Persekutuan semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)