Najib seharusnya gembira PH tunai janji manifesto hapuskan tol, kata MPT Bersatu

Najib seharusnya gembira PH tunai janji manifesto hapuskan tol, kata MPT Bersatu

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sewajarnya mengagumi kemampuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi melunaskan janji penghapusan tol, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Beliau berkata sewajarnya Najib menzahirkan rasa gembira setelah PH dapat menunaikan sebahagian janji manifesto bagi meringankan beban rakyat.

“Apakah Najib merasakan kerajaan PH terpaksa menunggu masa diluar tempoh mana-mana pilihan raya kecil sebelum menunaikan apa jua janji manifesto Buku Harapan.

“Usaha memansuhkan tol yang diperincikan oleh Pejabat Perdana Menteri ternyata memanfaatkan jutaan rakyat dan bukannya hanya bagi pengundi Dun Semenyih semata-mata.

“Oleh itu hamburan fitnah yang dilemparkan oleh Barisan Nasional (BN) kononnya kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihan raya adalah tidak benar sama sekali, ” ujar beliau.

Tegas Akramsyah lagi, walaupun slogan peribadi Najib yang seolah-olah mengajar masyarakat yang seorang ‘Boss’ tidak perlu malu atas segala tindakan, sebagai seorang pemimpin PH, haknya untuk bersuara sememangnya dihormati.

Walau bagaimana pun kata beliau, Najib seharusnya lebih prihatin dan berfikir sebelum bersuara.

Tambahnya lagi, sekalung tahniah kepada Najib kerana tindak-tanduknya sejak kebelakangan ini telah membuka peluang yang besar bagi PH untuk menjelaskan dengan lebih baik kepada rakyat, bukti janji-janji manifesto termasuklah menurunkan kos sara hidup dan juga
memansuhkan tol secara berperingkat.