Najib, Shafee dapat kebenaran cabar pelantikan Sri Ram ketuai pasukan pendakwaan

Najib, Shafee dapat kebenaran cabar pelantikan Sri Ram ketuai pasukan pendakwaan

Mahkamah Rayuan di sini hari ini memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam perbicaraan mereka.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat membenarkan rayuan Najib dan Muhammad Shafee untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram.

“Kami sebulat suara dalam keputusan kami. Kami mendapati ada merit dalam rayuan ini. Kami berpendapat bahawa sifat dan bidang kuasa permohonan semakan kehakiman serta usul penyingkiran yang difailkan di mahkamah jenayah adalah berbeza,” kata Hasnah yang mempengerusikan panel hakim itu.

Beliau berkata isu pertindihan permohonan tidak timbul kerana remedi dipohon berbeza.

Mahkamah, katanya, mendapati terdapat kes yang boleh dipertikaikan dan permohonan semakan bukan suatu yang remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah.

Hasnah kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes semakan penghakiman di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di Kuala Lumpur.

Pada 20 Feb lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dan Muhammad Shafee bagi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram yang menyebabkan mereka merayu di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi (ketika itu), dalam penghakimannya, berkata permohonan Najib dan Muhammad Shafee serupa dengan permohonan yang dibuat oleh mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Beliau berkata adalah lebih sesuai isu pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya kanan ditangani di Mahkamah Tinggi jenayah, kerana permohonan yang sama masih menunggu untuk didengar di mahkamah itu.

Najib dan Muhammad Shafee telah memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lepas dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya sebagai responden pertama manakala Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam kedua-dua permohonan, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan oleh Peguam negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Mereka juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah, dan memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu.

Mereka juga memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu pemberita bahawa perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib akan berjalan mengikut jadual pada Rabu ini di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur dan Sri Ram akan mengetuai pasukan pendakwaan.

Mengenai keputusan hari ini, beliau berkata Jabatan Peguam Negara akan memutuskan tindakan selanjutnya.

Muhammad Shafee, bagaimanapun berkata pendakwaan sepatutnya menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan pada Rabu kerana pendakwaaan oleh seseorang yang tidak layak akan membatalkan kes itu.

“Tetapi kami tidak mahu dituduh melambatkan perbicaraan sekali lagi. Terserah kepada mereka, keputusan ditangan mereka kerana mahkamah telah memberi kebenaran kepada kami,” katanya.

Dalam rayuan hari ini, Muhammad Shafee mewakili Najib manakala peguam Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee manakala Peguam Negara Tommy Thomas mewakili responden.- BERNAMA