Malaysia Dateline

Najib, tanah Kampung Sungai Baru lebih bernilai berbanding Kampung Bharu

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipersoalkan apabila mempertikaikan bahawa Kampung Sungai Baru tidak termasuk dalam kampung-kampung di Kampung Bharu kerana ia tidak terletak di bawah MAS atau Malay Agriculture Setlement.

Ini kerana, Kampung Sungai Baru terletak di sebelah tanah MAS dan lebih dekat dengan KLCC berbanding lain-lain kampung di bawah MAS Kampung Bharu, kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Kedudukan Kampung Sungai Baru lebih dekat dengan KLCC dan tidak terikat dengan syarat tanah di bawah MAS.

“Jika dulu dia boleh banding harga tanah KLCC berharga RM3,000 sekaki persegi, sekarang kenapa nak pertahankan pampasan hanya RM400 sekaki persegi untuk Kampung Sungai Baru yang lebih dekat dengan KLCC berbanding tanah MAS.

“Kenapa nak ambil tanah rakyat dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang bersifat memaksa.

“Mana pergi hero dan pahlawan Melayu yang nak mempertahankan Kampung Bharu sebelum ini,” kata ahli parlimen Shah Alam itu.

Khalid menjawab kenyataan balas Najib kononnya Kampung Sungai Baru tidak terletak di bawah Kampung Bharu.

Sebenarnya bagi penduduk Kampung Sungai Baru, mereka menamakan kampung mereka sebagai Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu.

Ini kerana, kampung mereka terletak di Kampung Bharu tetapi tidak termasuk dalam kawasan MAS sahaja.

Kedudukan kampung mereka juga lebih dekat dengan KLCC berbanding Kampung Bharu di bawah tanah MAS.

Ini kerana kampung Sungai Baru terletak antara Tanah MAS Kampung Bharu dengan Sungai Klang yang memisahkan kampung mereka dengan KLCC.

Bagi Khalid, hujjah Najib betul bahawa Kampung Sungai Baru tidak termasuk di bawah MAS tetapi tetap di Kampung Bharu.

“Bila di luar tanah MAS, tanah mereka sebenarnya lebih bernilai kerana tidak terikat dengan syarat-syarat ketat yang dikenakan ke atas tanah MAS seperti tidak boleh dijual kepada orang bukan Melayu, hanya boleh diduduki oleh orang Melayu dan sebagainya,” kata ahli parlimen Shah Alam itu.

Oleh itu, katanya, jika Najib berkata tanah KLCC boleh djual dengan harga RM3,000 sekaki persegi, tanah Kampung Sungai Baru akan mempunyai nilai lebih dekat dengan harga tanah di KLCC berbanding tanah di bawah MAS kerana ia tidak ada sekatan yang kuat.

Najib ketika menjawab laporan Malaysia Dateline sebelum ini berkata, “Tanah Kampung Bharu” yang dikatakan dipaksa beli dengan harga RM400 satu kaki persegi itu BUKAN tanah Kampung Bharu.

Najib mengesahkan, Kampung Sungai Baru tidak berstatus “Pertanian Melayu Kampong Bharu (MAS)”.

Di bawah MAS, pemilik dikenakan syarat atau halangan, iaitu hanya boleh menjualnya kepada pembeli Melayu.

Kampung Sungai baru berstatus persendirian atau pajakan 99 tahun, kata Najib.

Ini berbeza dengan status tanah Kampung Bharu yang mengandungi tujuh perkampungan lain, iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Paya, Kampung Kariah A, Kampung Kariah B serta Kampung Pindah yang ditadbir oleh Malay Agricultural Settlement (MAS).