Najib tarik balik saman terhadap Harakah

Najib tarik balik saman terhadap Harakah

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah dan Ketua Pengarang portal Harakahdaily berhubung penyiaran artikel yang mendakwanya menyalahgunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam yang mewakili Najib, Nor Emelia Mohd Iszeham, ketika ditemui berkata saman fitnah itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

Bagaimanapun, beliau yang dipetik Berita Harian tidak mendedahkan terma lain berkaitan penarikan balik saman berkenaan.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng membatalkan tuntutan saman terbabit yang difailkan Najib pada 18 Mac 2015.

Prosiding yang dijalankan di kamar hakim, hari ini, dengan turut dihadiri peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Harakah dan Harakahdaily selaku defendan.

Najib memfailkan saman itu dengan menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob, dan Ketua Pengarang portal Harakahdaily, Taufek Yahya, berhubung penerbitan sebuah artikel ditulis Rosli pada 19 Februari 2015 dalam Harakah serta Harakahdaily.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib berkata, artikel itu berniat jahat dan memfitnahnya dengan mendakwa beliau menyalahgunakan dana 1MDB.

Beliau selaku plaintif berkata, penerbitan artikel itu menyebabkan reputasinya terjejas dan diri dikecam dalam media massa serta media sosial dengan pelbagai tuduhan menghina dan mengaibkan.

Katanya, defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap beliau bagi meneruskan agenda defendan sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti isu dibangkitkan.

Baru-baru ini, beliau turut menarik balik saman terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, berhubung isu 1MDB.

Selain itu, Najib menarik balik saman terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan dana kerajaan.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0