AMANAH menegaskan keputusan mahkamah berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd secara jelas menolak dakwaan meleset Najib Razak dan para penyokong tegar Ahli Parlimen Pekan itu kononnya telah dianiaya atau dijadikan mangsa fitnah.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan semalam seolah-olah memberi sebuah isyarat yang amat jelas bahawa keputusan suara rakyat pada PRU -14 yang menolak kepimpinan bekas Perdana Menteri itu adalah tepat.
Menurutnya, penolakan rakyat pada 2018 memandangkan Najib dianggap telah memalukan negara di seluruh dunia di atas kesalahan jenayah mega yang berkait dengan hal-ehwal 1MDB dan yang berkaitan dengannya.
“AMANAH ingin menegaskan bahawa setakat keputusan semalam adalah jelas teori meleset YB Pekan yang mendakwa beliau adalah tidak bersalah telah ditolak dan tidak diterima kerana pihak mahkamah – mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan telah mengkaji sedalam- dalamnya segala bukti dan keterangan yang dikemukakan di dalam kes tersebut dan telah berpuas hati bahawa YB Pekan telah terbukti bersalah!
“Adalah jelas YB Pekan telah diberi peluang secukupnya berdasarkan prinsip keluhuran undang-undang (the rule of law),” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mempersoal keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang menangguhkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib.
“Penggantungan pelaksanaan denda adalah dilihat bercanggah dengan amalan biasa. Sekiranya didapati tidak bersalah, denda itu boleh dikembalikan dan dengan itu tertuduh tidak mengalami apa-apa kerugian.
“Dengan rasa penuh hormat, AMANAH berpandangan hal tersebut berpotensi mengukuhkan lagi persepsi negatif seolah-olah masih tebal lagi budaya dua darjat dalam perlaksanaan hukum di negara tercinta ini,” katanya lagi.
Semalam, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas menolak rayuan Najib.
Panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib adalah betul dan tidak terkhilaf.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan suami Datin Seri Rosmah Mansor itu tidak mempunyai merit.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam belanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.