Malaysia Dateline

Najib terbukti tidak macam Azmin, kata ahli MT Umno

Tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengaku bersalah melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas satu video yang dipaparkan menjadi tamparan kepada Menteri Kanan Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Datuk Mohd Puad Zakarshi

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi (gambar) berkata, ia berbeza dengan Azmin kerana tidak berani bertanggungjawab selepas videonya didedahkan dan berselindung di sebalik ‘video kabur’.

“Itu beza Najib dengan Azmin. Najib sanggup datang ke IPD Dang Wangi.

“Maka ‘dapatlah pihak berkuasa mengenalpasti identiti saya sebab video HD’.

“Apa macam Azmin?” tanya Puad ketika membela bosnya yang diserang oleh laman berita pro Azmin semalam.

Najib telah mengambil keputusan untuk menerima kompaun yang bakal dikenakan oleh pihak berkuasa selepas video beliau melanggar SOP ketika pergi makan nasi ayam di Kuala Lumpur disebarkan di media sosial.

Azmin pula dikatakan terselamat dari tindakan pihak berkuasa selepas satu video disebarkan yang menyerupai wajah beliau di sebuah hotel di Sabah dengan alasan video itu kabur.

Puad berkata, malam tadi beliau menghadiri program sembang santai di Restoren Pak Din Taman Bukit Perdana Penggaram yang dianjurkan oleh Umno cawangan di sana.

“Antara cerita yang timbul ialah pencacai PN cuba mensensasikan Najib tidak mematuhi SOP di Restoren nasi ayam Mee Cheng Kuala Lumpur.

“Usaha mereka gagal. Sebaliknya pencacai PN yang malu kerana Najib buktikan dia terbuka, gentleman, patuh peraturan dan tidak double standard,” kata Puad.

Antara perkara yang dibuat Najib, katanya, adalah:-

1. Najib tidak mencari berbagai alasan untuk menegakan benang basah.

2. Dia mengaku silap

3. Dia mahu pihak penguatkuasa keluarkan surat saman padanya.

4. Dia akan bayar kompoun sebelum tempoh 7 hari.

5. Najib tidak mahu ada dua darjat dalam kesnya.

6. Polis panggil Najib. Dia akan hadir.

“Apa ada hal. Itu yang para pencacai tidak tahan. Termasuk portal MalaysiaNow dan pencacai PPBM “Otai”.

“Ia juga sindiran kepada Kerajaan PN supaya jangan double standard,” kata Puad lagi.