Malaysia Dateline

Najib terima notis bankrap

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dilaporkan telah menerima notis bankrap daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam.

Memetik Malaysiakiini, perkara berkenaan diberitahu sumber yang rapat dengan Ahli Parlimen Pekan itu.

Notis berkenaan difahamkan berhubung cukai sebanyak RM1.7 bilion yang dikehendaki oleh LHDN daripada Najib.

Petang semalam, tersebar gambar di kediaman Najib yang didakwa turut melibatkan kehadiran pegawai PDRM untuk menyampaikan notis itu kepadanya secara peribadi.

“Kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Mei ini,” kata sumber itu seperti dipetik Malaysiakini.

Pada Jun 2019, LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut lebih RM1.69 bilion, dengan kadar faedah lima peratus tahunan bermula daripada tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatan untuk tahun 2011 hingga 2017 dalam jangka waktu 30 hari yang ditetapkan setelah notis taksiran dikeluarkan.

Oleh itu, jumlah hutang setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus.