Najib terlalu banyak kuasa, gagal tangani isu perumahan pemandu teksi, kata Timbalan Menteri KPKT

Najib terlalu banyak kuasa, gagal tangani isu perumahan pemandu teksi, kata Timbalan Menteri KPKT

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dilihat sebagai pemimpin yang culas dalam menangani isu perumahan pemandu teksi di negara ini kerana memegang terlalu banyak kuasa dalam kerajaan terdahulu.

Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad  berkata, bukan sahaja Najib gagal menyelesaikan isu pemandu teksi bahkan ketika memerintah Najib juga gagal menyelesaikan masalah perumahan kepada pemandu teksi.

“Saya ingin mengingkatkan di sini semasa Datuk Najib menjadi Perdana Menteri, PRIMA di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Datuk  Najib adalah Perdana Menteri.

“Semasa itu juga SPNB adalah dibawah Kementerian Kewangan dan Datuki Najib adalah juga Menteri Kewangan.

“Sebenarnya Datuk Najib berada di dalam keadaan penuh berkuasa membuat sesuatu untuk perumahan pemandu teksi semasa itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata demikian, susulan Najib dalam sidang medianya pada Rabu, mempersoalkan kenapa kerajaan PH tidak menyediakan rumah untuk warga pemandu teksi.

Dan Raja Kamarul menjawab balas semalam, turut mempersoalkan pula kenapa Najib tidak menangani isu ini semasa beliau berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak bersama pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubahrin Ismail dan pemandu teksi mengunjungi bekas perdana menteri itu di kediamannya pada Rabu lalu.- Foto Fb Najib Razak.

Semalam Najib dalam paparan di laman facebooknya membalasnya dengan menyatakan beliau berhak bersuara bagi pihak pemandu teksi.

Hari ini pula Raja Kamarul Bahrin menjelaskan, beliau tidak menyoal hak bekas menteri kewangan itu untuk menimbulkan isu pemandu teksi..

“Sebenarnya saya tidak menyoal pun hak beliau bersuara. Saya hanya bertanya kenapa hanya sekarang beliau menimbulkan isu ini dan bukan semasa beliau berkuasa sebagai Perdana Menteri kerana bukankah dua Syarikat perumahan PRIMA dan SPNB di bawah beliau semasa itu?” soalnya dalam kenyataan hari ini lagi.

Jelas Raja Kamarul Bahrin, disebabkan Najib memegang tiga jawatan sekaligus dalam pentadbiran kerajaan terdahulu menyebabkan bekas presiden Umno  itu tidak boleh bekerjasama dengan dirinya sendiri.

“Beliau mempunyai terlalu banyak kuasa sehingga beliau tidak boleh berkerjasama dengan dirinya sendiri sebagai Perdana Mentri, Menteri Kewangan dan Pengerusi IMDB.

“Saya tidak berhasrat melarang Datuk Najib bercakap. Lagi banyak dia bercakap lagi banyak kita mengetahui rahsia sebenar kehebatan Datuk Najib,” ujarnya sinikal.