Najib tersepit antara ‘apa lagi Cina mahu, apa saja negara China mahu’

Najib tersepit antara ‘apa lagi Cina mahu, apa saja negara China mahu’

Datuk Seri Najib Razak kini tersepit antara “apa lagi Cina mahu” sebagaimana diucapkan selepas PRU 13 lalu, dengan “apa sahaja yang negara China mahu”.

Inilah yang berlaku sekarang apabila Najib menjual aset dan tanah penting negara kepada negara China bagi mendapatkan wang untuk menutup skandal 1MDB beliau.

Bagi ahli parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, tindakan Najib tidak selari antara kedua-dua dilema ini apabila Najib mendakwa, jika rakyat mengundi pembangkang bermakna mereka membenarkan DAP memerintah negara ini.

Katanya, penjualan lima pelabuhan negara di Kuantan, Melaka, Bagan Datoh, Pulau Pinang dan Johor Bharu serta Projek Bandar Tun Razak, Stesyen Janakuasa Letrik bersama Keretapi Pantai Timur kepada Negara Republik China Komunis adalah isu penjajahan ekonomi dan monopoli keterlaluan oleh kuasa asing.

Katanya, tuntutan kawasan Laut China Selatan, yang kaya dengan minyak oleh China yang di tolak Tribunal antarabangsa dan di sambut baik oleh negara ASEAN lain, tidak di sokong oleh Malaysia.

“Kalau boleh begitu mesra dengan negara China, Najib dan Umno patut belajar tidak bersikap begitu rasis kepada Cina tempatan saperti ucapannya di Kedah baru baru ini,” kata Raja Bahrin lagi.

Raja Bahrin mengulas ucapan Najib pada ceramahnya di Kedah, negeri majoriti Melayu, yang memainkan isu perkauman dengan kenyataan kalau pembangkang menang DAP akan memerintah.

“Apabila pembangkang menyoal monopoli dan kebergantungan kepada syarikat negara China, kita di tuduh rasis walaupun ianya isu kedaulatan negara.

“Tidak apakah memberi dominasi perniagaan kepada negara komunis China dan rakyatnya tapi salah untuk mengundi pembangkang kerana ada DAP?” kata Raja Bahrin mempertikaikan kenyataan Najib.

Bagi beliau, bantahan terhadap penjualan aset negara kepada China bukan isu perkauman.

“Tidak ada unsur perkauman kerana kami tidak memusuhi Cina tempatan atau orang China luar.

“Yang memusuhi dan mendiskriminasi kaum Cina tempatan adalah Umno dan Najib,” katanya.

“Kami menganggap isu yang melibatkan negara China merupakan isu kebergantungan dan monopoli keterlaluan yang cukup berbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara, dan pastinya bukan isu perkauman sebagaimana didakwa oleh Datuk Seri Najib,” katanya.

Tetapi jika beliau masih menganggap ia merupakan isu perkauman, beliau perlu menjawap beberapa soalan penting tentang sikap Kerajaan terhadap rakyat berbangsa Cina di Malaysia serta program BTN selama ini, katanya.

“Soalan pertama, Umno dan BTN mendakwa bahawa kaum Cina di Malaysia merupakan ancaman utama kepada pemerintahan Melayu di Malaysia.

“Jika ia benar, mengapakah kerajaan hari ini membuka pintu begitu luas dan mudah kepada Negara China dan rakyatnya untuk monopoli perniagaan serta memasuki serta menduduki Malaysia?

“Bukankah ini akan menambah lagi “ancaman” keatas “ketuanan Melayu”?

“Ataupun adakah dakwaan Umno dan BTN selama ini berkenaan ancaman kaum Cina terhadap “ketuanan Melayu” adalah tidak benar?

Kerana itulah kemasukan perniagaan dan rakyat negara China dengan begitu banyak tidak menjadi ancaman kepada “ketuanan” dan pemerintahan Melayu?” katanya.

Bagi beliau, kedua-dua senario tersebut di atas memerlukan kerajaan dan Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Dalam senario pertama kerana “mengugat” kedudukan “ketuanan Melayu” dengan menambah ancaman keatas orang Melayu, manakala dalam senario kedua pula, kerana bertindak menipu orang Melayu selama ini dengan momokan ancaman kaum Cina yang kononnya berkomplot untuk merampas kuasa Melayu.

“Saya mohon Datuk Najib memilih manakah jawapan yang betul, dan jelas dalam kedua-dua senario, Datuk Seri Najib perlu memohon maaf kepada rakyat, terutamanya kepada orang Melayu,”katanya.