Najib teruja fenomena ‘malu apa bossku’ gegar Anugerah Juara Lagu TV3

Najib teruja fenomena ‘malu apa bossku’ gegar Anugerah Juara Lagu TV3

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat teruja apabila ungkapan ‘Malu apa bossku’ disebut dalam siaran langsung Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 malam tadi.

Sejurus berakhir acara tahunan stesen penyiaran TV3 lewat malam itu, Najib di Facebook atas namanya memberi reaksi, “Eh, tadi AJL sebut apa? Kita geng!”

Status di media sosial itu berserta imejnya di atas motosikal kapcai yang sebelum ini tular menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands minggu lalu.

Malah, bekas Presiden Umno berkenaan sekali lagi memuat naik status berkaitan anugerah yang menghimpunkan 12 lagu terbaik itu.

“Salam 1Malaysia! Oh, biar rasa ini, Hanya sekadar engkau tahu, Aku ada bila perlu, Kita saja tahu
Ternyata benar benar kali ini, Memilih kamu Mencintai aku,” katanya.

Ungkapan itu merupakan lirik lagu berjudul ‘Haram’ nyanyian Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah yang menjuarai AJL ke-33.

Malam tadi, pengacara Sherry Al Hadad yang digandingkan dengan Alif Satar menyebut ‘Malu apa bossku’.

“Sabar, sabar, sabar. Malu apa bossku,” kata Sherry serentak diikuti ketawa besar oleh Alif serta kira-kira 6,000 penonton AJL di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sherry kemudiannya sekali lagi menyebut,”Malu apa bossku. Ini kita nak mendapat perhatian bossku, bossku semua,” katanya yang turut tidak dapat menahan ketawa.