Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepertinya tidak berpeluang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada 2027.
Perkara ini berpunca daripada kegagalan Najib yang juga merupakan bekas Presiden UMNO itu bagi mendapatkan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.
Oleh yang demikian, Najib selaku individu yang disabit bersalah dan dihukum penjara hanya boleh bertanding selepas tempoh lima tahun daripada tarikh tamat hukuman.
Perkara ini turut oleh diakui Pakar Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, lapor Sinar Harian.
Jelas Dr Khairil, ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi peruntukan perkara 48 (1) (e) dibacakan bersama dengan 48 (3) mengenai kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.
Malah, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut kehilangan kelayakan untuk memegang mana-mana jawatan lagi di dalam perkhidmatan awam bagi tempoh yang sama.
“Di bawah perkara 48 (3) itu juga mengatakan, sekiranya seseorang itu mendapat pengampunan penuh atau pengampunan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong, maka dia boleh bertanding walaupun tidak cukup lima tahun (daripada tarikh pembebasan).
“Bagi kes Datuk Seri Najib ini, beliau bukan mendapat pengampunan di mana semua kesnya dihapuskan tetapi (hanya) dikurangkan sahaja. Maksudnya di sini, beliau masih lagi banduan dan masih lagi menjalani hukuman.
“Jadi buat masa sekarang beliau tidak boleh menjadi ahli Parlimen atau bertanding dalam pilihan raya. Kerana jika ikut status quo (keputusan Lembaga Pengampunan), Datuk Seri Najib akan menjalani hukuman penjara sehingga 2028,” katanya.
Terdahulu, beberapa orang peguam dilaporkan berkongsi pandangan bahawa Najib boleh dibebaskan daripada Penjara Kajang seawal tahun 2025 atau hujung 2024 ini.
Hal ini kerana, Najib berpeluang menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah ekoran layak memohon parol pada tahun depan berdasarkan semakan semula tempoh pemenjaraannya.
Bagaimanapun, bekas ahli politik itu tetap tidak dibenar bertanding di dalam pilihan raya meskipun dibebaskan sebelum 2027 kerana belum mencukupi tempoh kelayakan iaitu selepas lima tahun tamat hukuman.
Baca juga: Elon Musk bukan lagi orang terkaya di dunia, nombor 1 rupanya ada kaitan dengan Lisa Blackpink