Najib tidak akan biarkan pembangkang gagalkan usaha majukan pantai timur

Najib tidak akan biarkan pembangkang gagalkan usaha majukan pantai timur

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad tidak akan membiarkan usaha pembangkang menggagalkan perancangan Barisan Nasional (BN) untuk terus memaju dan mensejahterakan penduduk Pantai Timur dan Malaysia secara keseluruhannya.

Najib berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membawa banyak manfaat kepada Pantai Timur dan juga Malaysia semasa pembinaan dan setelah disiapkan kerana memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menambah nilai hartanah di kawasan yang dilaluinya.

“Malah kita meramalkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negeri-negeri Pantai Timur akan meningkat sebanyak 1.5 peratus,” katanya dalam catatan terkininya di blog NajibRazak.com.

Najib berkata amat menghairankan mengapa pembangkang begitu menentang projek ECRL di sebalik manfaat yang dibawa kepada Pantai Timur dan begitu ingin melihat projek infrarakyat itu gagal.

Beliau berkata selain mengugut untuk menghentikan projek ECRL jika mereka berkuasa, pembangkang juga cuba untuk mengelirukan dan menanam kebencian kepada rakyat dengan memutar-belit fakta mengenai pembinaan ECRL.

“Mereka juga kata projek tersebut satu pembaziran dan tiada keperluan untuk rakyat walhal mereka sendiri sedar ECRL mampu memperbaiki jurang pembangunan di Pantai Timur dan membawa banyak manfaat kepada rakyat,” katanya.

Najib turut mempersoalkan sama ada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum puas hati walaupun setelah 22 tahun mengabai, menganaktirikan dan mendera penduduk Pantai Timur terutamanya di Kelantan, sehinggakan masa depan mereka yang kini lebih cerah bersamanya dan BN ingin dimalapkan.

“Saya tak akan biarkan penduduk Pantai Timur kembali kepada zaman kegelapan di bawah Dr Mahathir! Insya-Allah, jika terus diberi mandat, kita akan lengkapkan ECRL, kita akan pastikan Pantai Timur maju dan berjaya seiring kemajuan Malaysia,” katanya.