Malaysia Dateline

‘Najib tidak mahu cuba hidupkan semula Permata?’

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad secara sinis bertanyakan Najib Razak sekiranya bekas Perdana Menteri itu mempunyai keinginan untuk mewujudkan semula Program Permata Negara (Permata).

Khalid bertanyakan sedemikian susulan peruntukan sehingga RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Ada yang hidupkan balik Jasa. Jibby! Ohhh Jibby! Tak nak cuba hidupkan balik Permata?

“Tanya saja. Jibby pun tahu mata kaca dan mana permata yang sebenar. Jangan lihat nama saja,” sinisnya dengan memanggil Najib sebagai ‘Jibby’.

Program Permata yang dipekenalkan sejak 2008 ketika Najib mulai menjadi Perdana Menteri itu menyaksikan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai Penaung Permata.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan menyifatkan Jasa sebagai alat propaganda parti pemerintah sejak era BN lagi.

“Seperti Permata adalah kaca. Jasa pun tak berjasa kecuali bagi propoganda BN dan sekarang, PN,” tempelak Khalid menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Sekurang-kurangnya, terdapat 89 pusat Permata setakat tahun 2018 dengan seramai 500,000 kanak-kanak mengikuti program itu.

Daripada jumlah itu, 300 kanak-kanak dikenal pasti mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi.

Mengulas lanjut, Khalid turut mempertikai peranan pelbagai pihak lain dalam usaha mendapatkan maklum balas dari rakyat selainkan menghidupkan kembali Jasa dengan peruntukan yang begitu tinggi.

Tegasnya, kerajaan hanya menjadikan hal tersebut sebagai alasan untuk mewujudkan semula jentera propoganda.

“Katanya nak dapat feedback dari rakyat. Wakil rakyat mereka sibuk main golf saja agaknya? Dan ADUN, Ahli Majlis, MPP, Persatuan penduduk, ketua kampung, dan lain-lain semua tak berfungsikah?” bidasnya lagi.